6.2.12

Cinta Masjid TV Alhijrah @ Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda Sentul

Tarikh : 4-5 Februari 2012 (Sabtu dan Ahad)
Pameran Khat dan Demo


Abdul Rahman Sahalan sedang menyiapkan cenderahati khat kepada Dato' Seri Jamil Khir Baharom,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Aturcara Program Cinta MAsjid

poster Cinta Masjid

Petikan Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Program Cinta Masjid TV AlHijrah akan diadakan di semua masjid seluruh negara dengan matlamat menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu dan kegiatan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mengambil kira pentingnya institusi masjid, program itu diketengahkan sebagai usaha memupuk dan menyemarakkan rasa cinta pada masjid.
''Program ini akan membawa ikon seperti Ustaz Don Daniyal Don Biyajed atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don bagi memberi nafas baru dalam mengimarahkan masjid.
'' Program ini bermula di Kuala Lumpur dan akan diteruskan setiap bulan di seluruh negara untuk menggalakkan penyertaan golongan muda, belia dan kanak-kanak mendekati masjid dan seterusnya menjadikannya sebagai pusat perkembangan ilmu," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Cinta Masjid TV AlHijrah di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda hari ini.
Turut hadir, Pengerusi AlHijrah, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bukhari Che Muda.
Tambahnya lagi, kesedaran bahawa masjid bukan sekadar tempat untuk beribadat semata-mata perlu ditingkatkan kerana masjid merupakan pusat kegiatan umat sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
''Selain ingin menyebarkan dakwah melalui majlis keagamaan, program tersebut juga akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti program gotong royong membersihkan masjid, pertandingan azan dan mewarna untuk kanak-kanak.
'' Saya berharap program ini bukan sahaja disertai orang dewasa malah akan turut didominasi oleh golongan muda," ujarnya.


Petikan Sinar Harian


SHAH ALAM – TV AlHijrah akan melancarkan program bersama masyarakat (CSR) bertajuk Cinta Masjid pada Sabtu dan Ahad ini sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bukhari Che Muda berkata, program ini bertujuan mengimarahkan institusi masjid dan menjadikan masjid sebagai pusat perkembangan ilmu serta kegiatan masyarakat.

Beliau berkata, Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda Kuala Lumpur Masjid dipilih untuk menjadi masjid pertama yang akan menerima kunjungan TV AlHijrah.

“Cinta Masjid akan memperlihatkan keistimewaan tersendiri masjid yang boleh dijadikan contoh oleh masjid-masjid lain seluruh negara.

“Melalui program Cinta Masjid ini juga, masyarakat dapat perkongsian dari segi fakta dan usaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat ekonomi, pendidikan dan menghidupkan masjid seperti yang dituntut oleh Agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti diadakan selama dua hari ini yang melibatkan kerjasama erat antara TV AlHijrah, kariah dan jawatankuasa masjid.

“Pelbagai aktiviti akan berjalan termasuk siaran secara langsung Kuala Lumpur Berselawat dan rakaman program hiburan Islam iaitu Program Dikir Berzikir.“

Selain menyebarkan dakwah melalui majlis keagamaan, program Cinta Masjid juga ingin mengimarahkan masjid dengan aktiviti seperti perarakan Maulidur Rasul, gotong-royong membersihkan masjid, majlis penyembelihan lembu untuk kenduri bersama masyarakat setempat, pertandingan azan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, ceramah agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempelawa kariah masjid dan penduduk setempat hadir untuk turut sama merasai kemeriahan program Cinta Masjid ini sambil sambil mengenali lebih dekat personaliti - personaliti TV AlHijrah.






bersama Ustaz Don' ikon masa kini