Halaman

24.12.11

Seni Khat di Karnival Taha@UTHM


Abdul Rahman bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Saifuddin Abdullah 


Dari kiri : Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Mohd Noh Dalimin, Abdul Rahman Sahalan, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato' Saifuddin Abdullah dan Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Haji Mohammad Saimi Mat Som
BATU PAHAT 21 Disember - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima kunjungan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah untuk merasmikan Karnival TaHa@U anjuran bersama UTHM, Tabung Haji dan Berita Harian yang berlangsung pada 21 dan 22 Disember lalu.
Bersempena karnival ini, Pusat Islam UTHM selaku penyelaras karnival turut mengadakan Kempen Memperkasakan Zakat yang bertujuan menggalakkan warga UTHM melaksanakan salah satu rukun islam iaitu menunaikan zakat. Program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan pelbagai acara seperti Larian TaHa@U, Khidmat Masyarakat dan Motivasi Ahli Kelab, pertandingan sukan seperti futsal, catur, dam haji dan karom serta Konsert Mahabbah.
Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pembukaan kaunter seperti kaunter Tabung Haji, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Berita Harian serta terdapat juga pameran dan jualan produk halal di sekitar Dewan Terbuka, UTHM.
Dato' Saifuddin dalam ucapan perasmiannya berkata program TaHa@U ini sememangnya memberi banyak manfaat kepada pelajar. Program seperti ini dapat membina generasi yang prihatin serta dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan dan kemakmuran ummah dan negara.
"Program ini mampu menanamkan semangat para pelajar untuk suka menabung sekali gus membangkitkan keinginan mereka menunaikan ibadat haji di usia muda," kata beliau.  
Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya pula berkata kira-kira 4000 orang pelajar telah menyertai sekretariat TaHa@U ini dan jumlah tersebut dijangka akan bertambah dari masa ke semasa. Profesor Dato' Mohd Noh juga mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji dan Berita Harian kerana memberi kepercayaan untuk menganjurkan program seperti ini.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan warga universiti agar menunaikan zakat yang sememangnya menjadi kewajipan kepada umat Islam."Tunaikan zakat dan hayatilah Islam untuk seimbangkan amalan di dunia dan akhirat," katanya.
Manakala Haji Mohammad Saimi berkata Karnival TaHa@U ini telah dilancarkan di beberapa buah universiti sebelum ini dan UTHM merupakan universiti ke tujuh menyertai program ini. Beliau berharap dengan tertubuhnya sekretariat TaHa@UTHM ini dapat meningkatkan lagi peratus pelajar islam yang mempunyai akaun Tabung Haji.
Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Haji Mohammad Saimi Mat Som; Pengarang Pendidikan Berita Harian, Haji Muhd. Yusuf Abu Bakar; Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf Majlis Agama Johor (MAIJ), Encik Sahibul Fadhilah Syeikh Ahmad Faisal Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz  Dato' Abdul Samad; Pengarah Pusat Islam UTHM, Profesor Madya Dr. Syed Muhammad Dawilah Al-Edrus serta Pegawai-Pegawai Kanan UTHM.
Majlis perasmian tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Gemilang Zakat kepada fakulti yang berjaya mengumpul wang zakat paling tinggi. Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) menerima anugerah emas mendahului Fakulti Kejuruteraan Awan dan Alam Sekitar (FKAAS) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP). Universiti ini sentiasa memberi galakan kepada kakitangannya untuk membayar zakat melalui potongan gaji.
Sempena kempen memperkasakan zakat ini juga, UTHM mengambil kesempatan untuk menyampaikan bantuan zakat kepada sembilan orang penerima. Bantuan tersebut merangkumi bantuan rumah, baik pulih rumah, sara hidup, kaki palsu dan dialisis.
Satu forum bertajuk "kepentingan berzakat dan Peranannya dalam Penyucian Harta"  turut diadakan sejurus selesai acara perasmian. Forum yang melibatkan dua orang panel jemputan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penonton dalam menyempurnakan ibadah zakat.
Semoga segala usaha yang dilakukan dapat memberi kebaikan kepada seluruh warga UTHM dan juga masyarakat setempat.


Demo yang berjaya menarik perhatian YB Dato'
Bersama ADUN Senggarang, YB Jaafar Hashim

Tarikh : 21-22 Disember 2011
Tempat : UTHM Parit Raja, Batu Pahat Johor