Halaman

28.6.15

Artikel Harian Metro : Helmi Sobri, Ahmad Rajaie, Ainun Jariah (Terpanggil Martabatkan Seni Khat)




Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz 

azimfitri@mediaprima.com.my




Kuala Lumpur: “Saya terpanggil untuk memartabatkan 
seni penulisan khat di Malaysia selepas 
melihat kurangnya karya sedemikian di tanah air. Seni 
seumpama itu dimartabatkan selaras
 dengan industri seni lain,” kata Ahmad Rajaei Awang.

Ahmad Rajaei yang mempunyai pengalaman luas dalam 
penulisan khat memberitahu, idea itu
 tercetus pada 2003 selepas beliau berhasrat 
mengembangkan bakatnya dalam seni penulisan 
kaligrafi Islam.

Menurut anak jati Kuala Terengganu yang berusia 33
 tahun ini, minatnya yang mendalam 
dalam seni penulisan khat menjadikannya 
bersungguh-sungguh mengembangkan seni warisan
 Islam itu sehingga ia menjadi antara punca pendapatannya.



Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, kurangnya 
pembabitan anak seni di Malaysia 
dalam tulisan khat sehingga peminat tulisan itu yang ingin 
mengumpul koleksi khat terpaksa 
membeli di luar negara menyebabkan dia ingin 
membangunkan seni kaligrafi Islam berkenaan.

“Saya menghasilkan tulisan kaligrafi khat ini menggunakan 
kanvas selain beberapa peralatan lain.
 Ia ada dijual daripada harga serendah RM600 hingga 
RM25,000 bergantung kepada panjang
 tulisan dan kerumitan menghasilkannya.

“Antara karya tulisan khat yang sering saya hasilkan
 ialah tulisan ayat al-Quran, zikir dan sajak,”
 katanya ketika ditemui di pameran 48 karya khat kumpulan
 Qalam Warisan di lobi bangunan 
The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP),
 Jalan Riong, di sini, semalam.

Pameran yang berlangsung sejak 1 Jun dan berakhir pada 
28 Jun ini turut mempamerkan 
karya penulis khat lain seperti Muhammad Zulhelmi Sobri 
dan Ainun Jariah Yaacob.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 11:10 AM