Halaman

30.7.21

Usaha dua karyawan muda martabatkan seni khat Islam sebagai warisan terbilang Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/usaha-dua-karyawan-muda-martabatkan-seni-khat-islam-sebagai/4244160.html

 Play Video

Usaha dua karyawan muda martabatkan seni khat Islam sebagai warisan terbilang

25/2/2019 22:29

Oleh:

NUR HAZIMAH ANUAR

A

A+

KONGSI ARTIKEL

SINGAPURA: Seni khat Islam yang wujud sejak awal tamadun Islam bukan sahaja diminati masyarakat Melayu/Islam Singapura.


Malah, minat untuk mempelajari dan mendalami khazanah warisan kesenian Islam itu juga semakin menarik golongan muda, serta juga masyarakat bukan Islam.


BERITAmediacorp menemui dua karyawan muda yang bertekad mengekalkan seni khat sebagai warisan yang dibanggakan.


KELAS SENI KHAT ISLAM FATHIAH CALLIGRAPHY DISAMBUT BAIK


Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir dalam jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Nur Fathiah Abdussamad bergiat aktif mengendalikan kelas dalam seni khat Islam. Menurutnya, ilmu seni khazanah Islam yang diraih dari Mesir merupakan satu amanah yang perlu dikongsi bersama masyarakat Melayu/Islam Singapura.




Sewaktu memulakan Fathiah Calligraphy, Cik Fathiah mendapati terdapat hanya satu lagi institusi yang menawarkan kelas-kelas sedemikian. Beliau juga hanya mempunyai sekitar 10 pelajar dan mengendalikan satu kelas sahaja pada waktu itu.


Kini, jumlah pelajarnya meningkat kepada lebih 60 orang dan beliau mengajar antara tiga dengan empat kelas. Landskap pembelajaran seni khat Islam di Singapura turut berkembang merangkumi kelas-kelas yang dikendalikan di beberapa masjid di sini.


Menariknya, golongan bukan Islam pun berminat mempelajari seni tulisan khat, membentuk 10 peratus jumlah peserta di Fathiah Calligraphy.


"Apabila saya mengunjungi negara-negara Islam, saya tertarik dengan bangunan, budaya dan seni ukir Islam. Dan saya rasa, ia baik jika saya boleh membaca dan mendalami pengetahuan tentang budaya Islam," kata salah seorang pelajar dari Jepun, Ryoko Yokota.




Kelas yang dikendalikan di Fathiah Calligraphy pula berdasarkan sistem modular, dengan masa pembelajaran disingkatkan kepada antara enam dengan 10 bulan berbanding cara tradisional yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya.


Seperti karyawan seni khat Islam lain, Cik Fathiah telah dapat memenuhi permintaan yang semakin tinggi daripada masyarakat.


"Ramai yang pasti minat, suka dengan seni ini. Cuma mereka tidak ada ruang atau tidak ada peluang untuk mempelajari seni khat Islam. Saya juga kerap mendengar kisah-kisah sebegini di mana mereka mengatakan mereka berminat untuk belajar tetapi tidak menemui kelas-kelas untuk belajar," ujar Nur Fathiah, Pengasas Fathiah Calligraphy.


'PROJECT KHAT' BERI SUNTIKAN MODEN PADA SENI LUKISAN TRADISIONAL


Seorang lagi karyawan muda, Cik Nur Afiqah Agus pula berusaha melestarikan seni khat Islam melalui suntikan elemen-elemen moden.


Bermula sebagai wadah untuk menghilangkan tekanan, beliau telah menghasilkan lebih 600 karya lukisan yang menyisipkan ciri-ciri kontemporari dengan tradisional melalui syarikat Project Khat.




Karya-karya beliau yang menggabungkan tulisan khat tradisional dengan seni lukisan menggunakan cat air, ternyata popular dalam kalangan golongan muda.


Menurut Pengasas Project Khat, Cik Nur Afiqah Agus: "Kebanyakan daripada masyarakat Islam Singapura tidak begitu memahami bagaimana cara tulisan khat Islam. Jadi ini adalah satu peluang atau wadah untuk mereka lebih mengenali seni ini melalui cara yang mudah."


Di samping itu, Cik Afiqah turut mengukirkan maksud tulisan khat itu dalam Bahasa Inggeris atau Melayu dalam karya-karya beliau bagi membantu mereka yang kurang fasih dalam Bahasa Arab.


Pastinya, melalui apa cara sekalipun, seni khazanah Islam yang indah itu perlu dimartabatkan agar ia tidak pupus ditelan zaman.


- BERITAmediacorp/aq

 Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/usaha-dua-karyawan-muda-martabatkan-seni-khat-islam-sebagai/4244160.html