Halaman

27.8.21

Hisyamuddin mengagumi keindahan, keunikan seni kaligrafi

 

Hisyamuddin mengagumi keindahan, keunikan seni kaligrafi

MOHD Hisyamuddin jatuh cinta dalam bidang seni kaligrafi Islam ini sejak di bangku sekolah lagi.
MOHD Hisyamuddin jatuh cinta dalam bidang seni kaligrafi Islam ini sejak di bangku sekolah lagi.

SENI khat atau kaligrafi begitu sinonim dengan ayat daripada al-Quran yang sering digunakan oleh mereka yang mahir dalam menulis bidang seni tulisan ini.

Bentuk huruf Jawi yang mempunyai ciri-ciri tersendiri dilihat mempunyai seni dan keunikan tersendiri.

Mohd Hisyamuddin Ramli, jatuh cinta dalam bidang seni kaligrafi Islam ini sejak di bangku sekolah lagi.

Anak muda berumur pertengahan 20-an ini berkata dengan berlatar belakangkan sekolah agama, beliau berasakan ia boleh menjadi antara satu platform kepadanya mengenali seni penulisan Islam ini.

"Saya mula meminati bidang ini sejak di bangku sekolah lagi kerana dari situ banyak mata pelajaran yang menggunakan tulisan Jawi.

"Di samping itu, saya juga mula kenal seni ini apabila membuat karangan dalam tulisan Jawi dan ia menjadi satu kebiasaan dan memupuk minat saya," katanya.

Beri kepuasan tersendiri

ANTARA hasil seni khat atau kaligrafi dihasilkan oleh Hisyamuddin.
ANTARA hasil seni khat atau kaligrafi dihasilkan oleh Hisyamuddin.

Mohd Hisyammudin, berkata dengan minat yang mendalam ini menjadikan dia mahir dalam kesemua jenis tulisan kaligrafi ini.

"Seni khat ini mempunyai enam jenis gaya penulisan iaitu Thuluth, Nasakh, Riq'ah, Diwani, Kufi dan Farisi.

"Alhamdulillah dengan minat yang begitu mendalam ini, saya mempelajari kesemua tulisan dan mahir dalam mengaplikasikan dalam mana-mana bahan untuk dituliskan seni khat ini," katanya.

Beliau berkata, generasi kini ada yang bergiat dalam bidang ini secara langsung atau tidak langsung kerana menulis kaligrafi ini juga adalah satu kepuasan seni yang tersendiri.

"Saya berkata demikian kerana terdapat pelbagai platform kepada peminat seni kaligrafi untuk mendalami ilmu ini kerana terdapat guru khat, persatuan atau bengkel khusus.

"Selain itu seni ini adalah satu lambang kekuatan Islam dari dahulu hingga kini dan ia masih berkembang luas dan mempunyai pengikut ini tersendiri," katanya.

Jadi medium dakwah

ANTARA hasil seni khat atau kaligrafi dihasilkan oleh Hisyamuddin.
ANTARA hasil seni khat atau kaligrafi dihasilkan oleh Hisyamuddin.

Bagi anak muda dari Terengganu itu, seni kaligrafi mempunyai nilai seni yang cukup halus dengan gaya penulisan tersendiri dan boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Menghasilkan tulisan kaligrafi ini juga adalah satu medium dakwah tanpa disedari oleh mana-mana yang melihat hasilnya.

"Ini kerana bagi sesiapa yang melihat dan terjatuh hati pada bait-bait tulisan kaligrafi itu akan membuatkan mereka tertanya-tanya apakah maksud di sebalik tulisan itu.

"Kebanyakan seni kaligrafi ini dihasilkan dalam bahasa Arab dan memerlukan kefahaman tentang maksud ayat untuk menikmati kesenian itu.

"Ini secara tak langsung ayat al-Quran yang sering digunakan penulis mampu memberi nasihat atau dakwah kepada yang memerhatikannya," jelas Mohd Hisyamuddin.

Sertai pertandingan dalam, luar negara

MAJLIS penyampaian hadiah sempena pertandingan Khat Asia di Sabah.
MAJLIS penyampaian hadiah sempena pertandingan Khat Asia di Sabah.

Dalam seni kaligrafi ini, Mohd Hisyamuddin lebih meminati tulisan jenis Diwani.

Kaligrafi gaya ini dianggap mempunyai alunan dan lenggok yang tersendiri.

Gaya Diwani adalah tulisan yang dihasilkan pada zaman awal pemerintahan Uthmaniyyah  abad ke-16 hingga awal abad ke-17.

"Tulisan ini berbentuk melengkung dan memerlukan penelitian yang sewajarnya supaya tidak berlaku kecacatan," katanya.

Beliau pernah menyertai beberapa pertandingan di dalam atau luar negara bagi mencari kepuasan dalam menulis seni ini.

"Saya pernah menyertai pertandingan di peringkat Asia yang diadakan di Sabah dan saya melihat penyertaan daripada pelbagai negara membuktikan bahawa seni ini mempunyai peminatnya tersendiri.

"Perkembang di Malaysia pula ramai rakyat kita meminati seni Thuluth, Nasakh, Kufi dan Diwani Jali," katanya.

Mohd Hisyamuddin berkata, menerusi kemahiran yang dimilikinya juga, beliau membuka tempahan kepada orang ramai yang berminat dengan karya seni kaligrafi.

"Alhamdulillah ada beberapa orang yang melihat kebolehan saya ini dan meminta untuk tempahan dan juga bengkel kepada yang ingin mempelajarinya.