Halaman

29.8.21

Khat cabang seni penulisan [METROTV]

 

Khat cabang seni penulisan [METROTV]

“KHAT hanyalah cabang seni dalam penulisan seperti kaligrafi Cina dan tidak perlu takut untuk mempelajarinya,” kata guru Pendidikan Islam, Muhammad Anis Ab Ghani, 40.

Dia yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau semakin dikenali warganet sejak minggu lalu selepas berkongsi pengalaman mengajar seni khat dan kaligrafi jawi bersama penuntut bukan Islam di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurutnya, perkongsian itu dimuat naik untuk pengetahuan masyarakat selepas berlaku pertikaian mengenai khat terutama apabila kerajaan mengumumkan bakal memperkenalkan khat sebagai antara kandungan dalam subjek Bahasa Melayu, tahun depan.

Muhammad Anis berkata, dia pensyarah sambilan di universiti berkenaan dan mengajar seni khat serta kaligrafi jawi sebagai subjek pilihan kokurikulum sejak 2012 lagi.

“Khat bermaksud garisan, manakala seni khat bermaksud garisan yang membentuk tulisan cantik. Sebab itu tiada isu sekiranya ia diperkenalkan di sekolah kerana ia sama sekali tidak mengganggu agama dianuti seseorang.

“Pada tahun pertama saya mengajar di USM, saya terima lima penuntut asing dari China dan menyangka mereka tersalah kelas, sedangkan mereka memaklumkan mahu mengikuti kelas itu kerana minat terhadap seni penulisan.

“Malah, mereka menunjukkan penguasaan dan kemahiran menulis khat dengan baik walaupun langsung tidak pernah didedahkan dengan tulisan jawi sebelum ini.

“Konsep santai yang saya terapkan juga membuat mereka lebih mudah mempelajarinya dan sehingga kini, saya sudah mengajar ratusan pelajar pelbagai bangsa,” katanya dikenali sebagai Abu Haziq dalam dunia khat.

Menurutnya, kira-kira 70 orang daripada pelajarnya adalah orang bukan Islam yang berasal dari Thailand, Asia Barat dan etnik Sarawak.

Menyingkap permulaan minatnya dalam khat, Muhammad Anis berkata, ia bermula sejak di bangku sekolah rendah dan pengajiannya dilanjutkan sehingga dia menuntut di Universiti Malaya (UM) serta bergelar guru.

“Saya berpeluang mempelajarinya dan bertemu ramai penggiat seni khat ini, sejak 15 tahun lalu. Saya akan peruntukkan dua jam sehari untuk mengasah kemahiran dalam penulisan ini,” katanya.

Bapa tujuh anak itu memberitahu mewujudkan Akademi Khat di SK Balik Pulau yang disertai 30 murid tahun lima termasuk anak ketiganya, Muhammad Hazim Wafiy, 10, yang menunjukkan minat sama.

Katanya, selepas ini dia merancang membuka galeri dan bengkel mempelajari khat di rumahnya.

Disiarkan pada: Ogos 6, 2019 @ 8:47pm