Halaman

2.8.21

Tulisan khat Jawi Paling Bernilai

 


Melihat sekeping wang kertas bernilai RM50, sudah pasti semua akan melihat dari sudut berapakah nilainya, jauh sekali menghargai rekaan, motif, pilihan warna mahupun jenis kertas yang digunakan.

Pun begitu, bagi Sulaiman Awang, 75, setiap kali melihat kepingan wang kertas ringgit Malaysia itu, dia pasti tersenyum sendirian dan acap kali terimbau kenangan yang tersimpan kemas di benak fikiran sejak lebih 20 tahun lalu.

Baginya, tiada tulisan khat yang lebih bernilai daripada tulisan khat jawi yang terdapat di setiap kepingan wang kertas itu, kerana tulisannya itu merupakan tulisan khat yang mempunyai ‘nilai’ amat berharga pada setiap keping.

Sulaiman merupakan individu penting di sebalik tulisan khat jawi ‘Bank Negara Malaysia’ dan Ringgit Malaysia yang tertera di setiap kepingan wang kertas yang digunakan ketika ini kerana dia adalah penulisnya.

Ketika bertemu lelaki itu, dia berkali-kali memberitahu bahawa itu kisah lama dan menganggap tiada siapa peduli tentang itu kerana sudah pasti menyebut tentang duit, nombor yang tertera adalah lebih berharga.

“Tiada apa pun yang istimewa tentang saya, malah masih ramai yang tidak tahu tentang siapa di sebalik tulisan khat berkenaan sehingga hari ini walaupun hari-hari bertemu dengan saya,” ujarnya tersenyum lebar memulakan bicara.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu mengakui, sejak kecil dia bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis karikatur seperti idolanya iaitu Raja Hamzah, namun mendapat halangan daripada bapanya.

Anak kepada seorang pengutip kelapa itu memberitahu, minat itu tidak mendapat sokongan kerana bapa tidak percaya bidang melukis karikatur dapat memberi kesenangan kepada keluarga, malah disebabkan itu dia hampir berputus asa meneruskan minat tersebut.

Pun begitu, mahu terus mengejar minatnya, Sulaiman membawa diri ke Kuala Lumpur dan mendapat peluang bekerja di ibu kota sebagai seorang penulis khat dan kartunis di Utusan Melayu (M) Berhad dari tahun 1962 sehingga 1970.

Kemahiran penulisan khat terus diasah memandangkan ketika berkhidmat di bahagian pengarang, dia diletakkan bersebelahan dengan seorang senior dikenali sebagai Ramli Salleh, yang bertanggungjawab menulis khat tajuk-tajuk akbar.

“Setiap hari saya akan menulis khat dan jika Ustaz Ramli bercuti, saya pula diberi tanggungjawab menggantikan tempatnya.

“Lama-kelamaan, bakat menulis khat saya semakin mahir selain melukis kartun dan komik untuk terbitan akhbar Utusan Melayu ketika itu,” jelasnya, yang juga mereka bentuk logo asal syarikat Utusan Melayu.

Sulaiman, yang juga pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pegawai Seni Reka selama 26 tahun, berkata, peluang menulis tulisan khat jawi pada wang kertas itu tidak pernah terfikir.

Ini kerana, seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad telah mencari dan meminta dia menulis perkataan Bank Negara Malaysia pada sehelai kertas dan memaklumkan tulisan berkenaan akan memasuki senarai tender untuk Bank Negara.

Seminggu kemudian lelaki itu memberitahu tulisan hasil tangannya berjaya selepas Bank Negara tertarik dengan tulisan tersebut dan beberapa bulan kemudian, setiap helaian wang kertas Malaysia terdapat cetakan tulisan khat jawi itu bermula nilai RM2 hingga RM1,000.

“Saya masih ingat ketika itu tahun 1997. Saya tidak mengambil banyak masa untuk menulis perkataan berkenaan, kalau tidak silap hanya dua kali sahaja saya menulis tulisan yang menggunakan khat nasakh dan terus menyerahkan tulisan itu kepada Mohamad.

“Sebaik sahaja melihat wang kertas itu dicetak dengan tulisan saya, memang seolah-olah rasa tidak percaya itu tulisan saya.

“Rakan-rakan rapat saya juga pada mulanya tidak percaya dan berkali-kali bertanya tentang itu, tetapi mereka tidak menafikan kerana mengenali jenis tulisan saya sebelum ini,” jelasnya yang dibayar RM10,000 untuk tugas berkenaan selain mendapat hadiah kepingan duit RM2 dan RM10 yang belum dipotong dari Bank Negara.

Terus-terang dia sendiri tidak mengetahui darah seninya mengalir daripada siapa kerana kedua-dua kakaknya tidak pandai menulis khat, manakala ibu bapanya juga tidak mempunyai bakat sedemikian. - Gambar AMIN FARIJ SIRAJUDIN

Mahu tulisan khat, jawi dihargai

Bakatnya mula menyinar ketika berusia 20-an, Sulaiman, percaya seni khat dan tulisan jawi perlu didedahkan kepada generasi muda supaya tidak pupus ditelan zaman dan menjadi tulisan yang penting buat peradaban manusia.

Biarpun sudah tidak aktif melukis komik dan menulis khat, dia mahu seni itu terus mengalir dalam darahnya agar menjadi contoh kepada cucu-cucu kelak.

Sulaiman, yang kini lebih aktif dengan jemaah masjid dan mengambil tanggungjawab menulis nama mereka yang telah meninggal dunia pada kertas sebelum dipindahkan kepada batu nisan, mengakui selesa melakukan kerja itu.

“Ini cara saya untuk terus memartabatkan seni tulisan khat dan banyak juga tempahan yang saya terima setiap hari. Tidak sukar mana pun, hanya beberapa minit sahaja saya tulis.

“Bukan soal duit tetap lebih kepada seronok melihat tulisan khat masih menjadi minat masyarakat, namun saya harap ia tidak hanya terhenti di batu nisan sahaja,” katanya dibayar RM10 untuk setiap tempahan.

Pernah membuat kelas mengajar tulisan khat bagi menurunkan kemahiran yang ada, namun akui lelaki itu, ia tidak mendapat sambutan masyarakat termasuk generasi muda.

“Mungkin tulisan khat atau tulisan jawi ini dilihat sebagai tulisan yang tidak penting dan bukan sesuatu yang boleh membawa duit, sebab itu ramai yang tidak berminat.

“Namun, mungkin pengalaman saya yang diberi peluang untuk menjadi sebahagian sejarah wang kertas Malaysia boleh menjadi pemangkin buat generasi muda mempelajari tulisan ini yang mungkin pada suatu hari nanti mendapat pengiktirafan yang lebih banyak,” akuinya.

Anak warisi bakat seni

Mengakui ada kemungkinan darah seninya daripada orang tua terdahulu, ujar Sulaiman, minat dalam penulisan khat dan karikatur turut diwarisi dua anaknya, Kamarul Khazim Sulaiman, 46, yang kini bertugas sebagai pelukis kartun di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dan Intan Azura, 40, merupakan seorang pelakon.

Menurutnya, Intan Azura pernah menang beberapa pertandingan penulisan khat sebelum menjadi artis, manakala Kamarul Khazim pernah merangkul Kategori Kartun Editorial Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI) Petronas 2016 mewakili akhbar Kosmo!.

“Saya tidak memaksa anak-anak mengikut jejak langkah tetapi mereka sendiri yang mencuba dan akhirnya menjadi mahir. Saya juga belajar sendiri dan pernah menyertai beberapa pertandingan menulis khat untuk melihat kemampuan diri,” katanya yang juga pernah mendapat tempat pertama dan ketiga pada pertandingan Seni Khat di Festival Malaysia pada tahun 1987.

Jelasnya, penulisan khat era ini berbeza berbanding zaman dahulu, kerana jika dahulu tulisan khat menggunakan pen yang diperbuat daripada pelepah kayu resam (sejenis pokok paku) dan agak sukar untuk menulis kerana perlu mencelup dakwat secara berhati-hati.

Berbeza pen mata besi yang banyak berada di pasaran sekarang, yang lebih mudah dikawal pengeluaran dakwat daripada mata pen sehingga mampu menghasilkan tulisan yang lebih lancar dan cantik.

“Saya suka tulis guna pen kayu sebab sudah terbiasa dan menulis khat ini adalah rutin saya. Tidak sukar langsung untuk menulisnya sama seperti saya menulis perkataan Bank Negara Malaysia 20 tahun lalu. Saya tulis secara bersahaja sahaja, namun ia memberi erti sehingga kini,” jelasnya.

Sumber: Utusan Online