Halaman

2.8.21

Tulisan khat pengisian tambahan seni bahasa

 

Tulisan khat pengisian tambahan seni bahasa

Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

KEMENTERIAN Pendidikan hari ini mengedarkan set soalan lazim bagi menjelaskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

S: Apakah yang berlaku?

J: Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan) bagi subjek Bahasa Melayu Tahun Empat memperkenalkan seni tulisan khat sebagai pengisian tambahan.

S: Apakah tujuan pengenalan tulisan khat ini dilakukan?

J: Ia dilaksanakan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

S: Bagaimana pengisian ini dilakukan?

J: Pengisian ini dilaksanakan melalui pembelajaran di dalam buku teks Bahasa Melayu. Terdapat enam muka surat aktiviti seni bahasa berkaitan tulisan khat dimuatkan di dalam buku teks setebal 164 muka surat.

S: Adakah murid akan menguasai jawi melalui enam muka surat ini?

J: Seperti dijelaskan tadi, ia dilaksanakan untuk memperkenalkan tulisan khat bagi meningkatkan pengetahuan murid mengenai aspek seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. Sehubungan itu, ia bukan satu pembelajaran komprehensif untuk menguasai jawi.

S: Adakah ini berlaku di SJK sahaja?

J: Tidak. Pengenalan ini membabitkan semua Sekolah Kebangsaan (SK) dan SJK.

S: Bilakah keputusan ini dibuat?

J: Perancangan pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula KSSR sejak 2014.

S: Adakah untuk Tahun Empat sahaja?

J: Pengenalan tulisan khat ini adalah untuk Tahap Dua dengan membabitkan Tahun Empat pada 2020, Tahun Lima pada 2021 dan Tahun Enam pada 2021. Murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tiga) tidak terbabit dengan pengenalan tulisan khat.

S: Adakah tulisan khat ini akan diuji dalam ujian dan peperiksaan?

J: Tidak. Tiada pentaksiran akan dijalankan bagi tulisan khat.

S: Kenapa memaksa murid bukan Melayu mempelajari tulisan khat?

J: Ia bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu. Tambahan pula, tulisan jawi juga diajar di SJK melalui mata pelajaran Bahasa Melayu sejak 2015. Ini boleh dirujuk kepada buku teks Bahasa Melayu untuk SJK Tahun Lima cetakan 2015 di muka surat 85 hingga 88 (bawah tema 6 Menghargai Budaya Bangsa Unit 17 Seni Tulisan).

S: Mengapa tulisan khat dan tidak memberi fokus kepada 'coding' dan cabang ilmu lain?

J: Tulisan khat adalah pengisian tambahan yang relevan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu. KPM memperkenalkan ‘coding’ atau pengekodan kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017. Di sekolah rendah ia membabitkan murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam). Manakala untuk sekolah menengah membabitkan Tingkatan Satu hingga Tiga. Aspek ‘coding’ ini dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer.