30.7.21

Mohon berkat salin al-Quran

 

Mohon berkat salin al-Quran


PEKERJA menyiapkan tempahan corak seni islam di Yayasan Restu.
PEKERJA menyiapkan tempahan corak seni islam di Yayasan Restu.

Shah Alam: Proses penyalinan semula ayat suci al-Quran bukan semudah yang disangka kerana penulisnya juga perlu menjaga kebersihan serta adab pada setiap masa bagi memastikan kesucian ayat suci itu sentiasa terpelihara.

Kerana itu, setiap pagi, sebelum proses penyalinan ayat suci al-Quran dijalankan, penulisnya akan melakukan solat Dhuha dan solat hajat berjemaah bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT.

Pada masa sama, penulisnya juga perlu sentiasa dalam keadaan berwuduk demi menjaga kesucian ayat suci berkenaan.

Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu Mohd Zulfikri Mohd Sobri berkata, al-Quran adalah kata-kata Allah SWT, justeru, persediaan teliti dilakukan sebelum penyalinannya.

“Menyalin ayat al-Quran berbeza dengan menulis penulisan biasa. Ada adab tertentu yang harus dipatuhi sama seperti membaca al-Quran seperti penyalin perlu menghadap tulisan ketika menyalin dan bukan daripada tepi.

“Penyalin juga perlu memakai baju lengan panjang atau sekurang-kurangnya pelapik di atas kertas ketika proses penyalinan dijalankan. Adab menyalin ini sama seperti mengaji al-Quran yang perlu dijaga tata susilanya, sambil menyalin kita akan membaca dan secara tidak langsung kita akan ingat ayat al-Quran berkenaan,” katanya.

Menurutnya, tiada tempoh waktu ditetapkan menyalin sehelai lembaran ayat al-Quran kerana kemahiran dan kepantasan setiap penyalin berbeza.

Ada yang dapat menyiapkannya awal dan sebaliknya kerana ia memerlukan ‘jiwa’ ketika bekerja bagi menghasilkan kualiti terbaik.

Disiarkan pada: Julai 13, 2015 @ 7:23am

Read more...

Kayu resam sesuai salin ayat suci

 Shah Alam: Penggunaan kayu khat atau handam untuk menyalin semula ayat suci al-Quran memberi kesan berbeza bergantung kepada jenis alat tulis yang digunakan penyalinnya.

Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu Mohd Zulfikri Mohd Sobri berkata, setiap alat tulis berkenaan memberi kesan berbeza kepada tulisan.

“Penggunaan buluh sebagai handam adalah untuk menaikkan tona ayat suci al-Quran yang disalin. Buluh berkenaan pula terdiri daripada pelbagai saiz serta diimport dari Iran, Nigeria serta Mesir.

“Kayu resam yang mudah diperoleh di Malaysia, Indonesia selain Kemboja atau negara Nusantara lain pula digunakan untuk menampakkan lagi kesan terang serta jelas pada ayat suci al-Quran yang disalin,” katanya ketika ditemui di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini.

Menurut Mohd Zulfikri yang bekerja di situ sejak 10 tahun lalu, ada dua saiz kayu khat yang digunakan iaitu saiz dua milimeter untuk menulis huruf dan saiz 1.3 milimeter bagi menulis baris.

Mohd Zulfikri berkata, pihaknya gemar menggunakan kayu resam sebagai handam kerana ia mudah digunakan selain tahan lama

“Mata kayu resam ini boleh diraut sehingga sehalus jarum dan ia tidak mudah patah. Pada masa sama, ada lekuk semula jadi pada permukaan kayu resam dan ia memudahkan genggaman penulis.

“Bagi buluh pula, saiznya juga pelbagai, ada yang besar dan sebaliknya. Ia bergantung kepada apa yang hendak dilakukan terhadap ayat suci al-Quran berkenaan seperti mahu menjadikannya lebih tebal, tipis dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mohd Zulfikri, dakwat digunakan pula sama ada diimport dari Jerman atau Jepun. Ini kerana, kedua-dua dakwat berkenan berkualiti tinggi selain tidak pecah apabila ditulis di atas lebaran kertas.

Mohd Zulfikri berkata, bagi memastikan dakwat diletak di dalam bekas untuk menulis ayat suci al-Quran tidak kering, pihaknya meletakkan benang sutera di dalamnya.

“Dengan meletakkan benang sutera, dakwat tidak akan kering malah tidak tumpah jika diterbalikkan. Ia juga mengekalkan kepekatan dakwat seterusnya memastikan kualiti dakwat pada lebaran kertas sentiasa sama.

“Sebagai alternatif, kami juga menggunakan jelaga yang dicampur dengan gam Arab sebagai dakwat namun ia tidak selalu digunakan,” katanya ketika ditemui.

Proses penulisan al-Quran bermula dengan lakaran huruf menggunakan pensel di atas lebaran kertas yang sudah disiapkan dengan motif tertentu sebagai bingkai.

Menurut Mohd Zulfikri, lakaran berkenaan kemudiannya disemak berulang kali bagi memastikan tiada kesilapan di dalamnya.

Disiarkan pada: Julai 13, 2015 @ 7:22am

Read more...

Al-Quran tulisan khat Diwani pertama dihasilkan

 Reuters

 MAHMOUD menunjukkan bentuk al-Quran yang ditulis dengan khat Diwani.  - Reuters
MAHMOUD menunjukkan bentuk al-Quran yang ditulis dengan khat Diwani. - Reuters

Beirut

Beirut: Seorang ahli seni khat menyiapkan projek dua tahun menulis kitab suci al-Quran dalam bentuk khat Diwani.

Mahmoud Bayoun, 80, percaya ini kali pertama al-Quran dalam bentuk khat yang jarang dan sukar dilakukan itu disiapkan.

Dalam khat Diwani, setiap huruf boleh ditulis dengan enam atau tujuh cara.

“Saya mahu lakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan orang lain. Semua bentuk huruf boleh dihasilkan menggunakan komputer, tetapi tidak Diwani kerana semua bentuk huruf yang dikomputerkan bertemu dalam garisan selari tetapi khat Diwani turun naik melebihi garisan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat biasanya ditulis menggunakan khat Nasakh yang mudah untuk dibaca dan ditulis.

Mahmoud yang sebelum ini menulis empat al-Quran menggunakan skrip lebih mudah belajar seni khat sejak berusia 14 dan dia juga adalah penulis seni khat rasmi di pejabat perdana menteri Lubnan.

Dia tidak pasti apa akan jadi dengan al-Quran tulisan Diwani itu.

“Mungkin saya akan turunkan kepada anak saya,” katanya. - Reuters

Disiarkan pada: Jun 28, 2017 @ 8:14am

Read more...

Jatuh cinta tulisan tok guru

 Siti Fatimah Nasir

Mohd Zulfikri  menghasilkan seni khat Islam di Kompleks Balai Seni Antarabangsa Selangor.
Mohd Zulfikri menghasilkan seni khat Islam di Kompleks Balai Seni Antarabangsa Selangor.

Shah Alam: Berpengalaman lebih 23 tahun dalam bidang seni kaligrafi khat serta penyalinan ayat al-Quran menjadikan pensyarah Kolej Restu, Mohd Zulfikri Mohd Sobri, 34, bukan calang-calang orang berdasarkan pencapaian yang diraih hingga ke peringkat antarabangsa.

Walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan hanya memiliki sijil Shadah Thanawiah ketika menuntut di sekolah pondok Maahad Tarbiah Islamiah Pokok Sena, Kedah, dia terkenal sebagai penyalin ayat al-Quran yang dilantik Yayasan Restu Selangor.

Mohd Zulfikri berkata, minat mendalam dalam dunia seni kaligrafi khat bermula sejak dia mempelajari kitab Melayu lama daripada tok guru yang ketika itu masih menggunakan kitab tradisional lama dan tulisan tangan.

“Disebabkan keindahan seni tulisan tangan yang dihasilkan tok guru di dalam kitab lama ketika itu menyebabkan saya kagum dan jatuh cinta untuk mendalami kaligrafi khat serta ayat suci al-Quran.

“Sejak itu, secara tidak langsung saya mula mempelajari seni kaligrafi khat dan cuba untuk meniru tulisan tangan tok guru kerana terlalu minat terhadap seni khat ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Taman Seni Islam Selangor.

Anak kelahiran Kedah ini berkata, pada mulanya seni kaligrafi khat dijadikan sebagai hobi masa lapang sebelum lebih serius dalam bidang itu sejak 1994.

“Walaupun pada mulanya saya dilatih menyalin ayat suci al-Quran dengan menggunakan pensel selama empat tahun, kini saya menghasilkan pelbagai karya seni kaligrafi khat dalam pelbagai corak dan motif.

“Meskipun kerja menulis khat sering dilakukan berulang kali, ia tidak pernah menjemukan disebabkan berkat kesungguhan dan minat mendalam terhadap bidang ini,” katanya.

PERALATAN     menulis khat    Mohd Zulfikri.
PERALATAN menulis khat Mohd Zulfikri.

Lebih mengagumkan, pembabitannya dalam bidang seni kaligrafi khat selama 23 tahun turut membolehkannya tercalon mengikuti pertandingan kaligrafi khat di peringkat antarabangsa seperti Dubai dan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Iran, Mesir, Palestin dan Algeria.

“Berbekalkan pengalaman, saya mengambil peluang ini untuk membuktikan karya yang dihasilkan rakyat Malaysia setanding dengan kehebatan karya pelukis negara luar.

“Sepanjang karier di Yayasan Restu Selangor, saya juga sebahagian pasukan yang terbabit menulis watikah angkat sumpah dalam tulisan jawi kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya yang juga Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu.

Selama pembabitannya dalam bidang itu, beliau pernah menerima anugerah di luar negara antaranya Pertandingan Seni Khat Jenis Diwani Jali di Turki pada Februari lalu.

Selain itu, beliau juga sering dijemput menjadi tenaga pengajar seni kaligrafi dan jawi di dua universiti iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Selangor (UNISEL) pada setiap hujung minggu.

“Setakat ini saya mempunyai lebih 100 pelajar berbangsa Cina dan India dari kedua-dua universiti terbabit yang berminat mempelajari seni kaligrafi khat dalam mata pelajaran kokurikulum dianjurkan.

Beliau berkata, di samping menjadikan seni kaligrafi khat sebagai kariernya, dia juga ingin berdakwah menerusi seni yang dihasilkan khusus kepada mereka yang bukan beragama Islam di Malaysia.

Disiarkan pada: Oktober 9, 2017 @ 9:52am
Artikel Berkaitan

Read more...

Kaligrafi khat jawi dekat di hati masyarakat Melayu [METROTV]

 Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Hasil karya kaligrafi khat jawi masih lagi dekat di hati masyarakat Melayu namun pembeli daripada golongan ini tidak meningkat.

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Ainun Jariah Yaacob berkata, masyarakat Melayu yang sepatutnya menyokong karya kaligrafi jawi ini juga ramai yang berpendapatan rendah dan tidak mampu untuk membelinya.

"Kemahiran menulis kaligrafi khat dengan sempurna mengambil masa agak lama serta sukar dan kerana itu ia tidak patut jika dijual dengan harga murah.

"Untuk pameran kali ini, kami tidak meletakkan sasaran jualan terlalu tinggi disebabkan memahami kekangan kewangan dihadapi rakyat Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

"Jika separuh daripada 38 karya yang dipamerkan kali ini berjaya dijual, itu sudah cukup membanggakan," katanya ketika ditemui di Pameran Jawi Jiwa Bangsa bertempat di Galeri Wisma Budi, di sini, hari i

AINUN Jariah antara pengkarya yang terlibat dalam Pameran Jawi Jiwa Bangsa di Galeri Wisma Budi. FOTO Nurul Amelia Ishak
AINUN Jariah antara pengkarya yang terlibat dalam Pameran Jawi Jiwa Bangsa di Galeri Wisma Budi. FOTO Nurul Amelia Ishak

Ainun Jariah yang turut mempamerkan tiga karya berkata, pameran kali ini menjadi satu harapan besar buatnya untuk memartabat bahasa jawi dalam kalangan masyarakat umum.

"Walaupun ada isu sebelum ini mengenai bahasa jawi namun saya mahu menekankan bahawa jawi ini bukan hanya simbol agama Islam semata-mata.

"Jawi itu adalah tulisan dan lambang sejarah bagi orang Melayu sebelum tulisan rumi diperkenalkan sama seperti tulisan cina," katanya.

PENGASAS Qalam Warisan dan pengkarya, Ahmad Rajaei. FOTO Nurul Amelia Ishak
PENGASAS Qalam Warisan dan pengkarya, Ahmad Rajaei. FOTO Nurul Amelia Ishak

Sementara itu, Ketua Pameran, Muhammad Shafiee Abdullah, 49, berkata, tema kali ini mengetengahkan perjuangan jawi di persada rakyat Malaysia dengan menyuntik nafas baru dalam setiap karya.

"Setiap karya yang dihasilkan kali ini unik kerana menggabungkan tulisan khat jawi dengan bacaan bahasa Melayu yang mudah difahami umum.

"Karya yang dihasilkan juga menggabungkan seni kaligrafi jawi dan kesenian Melayu seperti batik, adat, peribahasa dan sejarahnya," katanya.

Tambahnya, pameran akan berlangsung sehingga 3 November ini dan ia juga boleh ditonton secara langsung melalui Facebook Persatuan Seni Khat Kebangsaan.

Disiarkan pada: Oktober 8, 2020 @ 8:10pm

Read more...

Seni Khat atau Tulisan Jawi?

 Seni khat atau tulisan jawi?

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI | | 07 Ogos 2019

MINGGU ini politik dan perkembangan dalam negara agar ribut dengan langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan.

Maka gegak gempitalah beberapa pertubuhan bukan Melayu melatah, gelisah dan kelam kabut walaupun pihak kementerian telah menjelaskan bahawa tulisan dan seni khat adalah bertujuan untuk menerapkan dan memperkukuhkan elemen warisan kebangsaan selaras dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ironinya yang terkait sehingga menjadi berselirat adalah tulisan jawi. Seni khat dan tulisan jawi adalah dua perkara yang berbeza walaupun mempunyai kaitan secara tidak langsung

Apa yang boleh difahami adalah yang hendak diperkenalkan oleh kementerian ialah seni khat atau kaligrafi Melayu yang pastinya menggunakan tulisan jawi sebagai medium pembelajaran.

Soalnya kenapa langkah ini mendapat tentangan? Adakah pihak-pihak berkaitan cuba untuk memainkan sentimen perkauman, agama dan cauvinisme dalam kalangan rakyat sehingga menimbulkan kekeliruan?

Seni khat dan tulisan jawi kedua-duanya ialah elemen warisan kebangsaan Malaysia. Kewujudannya perlu diperkasakan agar tidak hanya kekal menjadi satu perlambangan dalam citra kehidupan rakyat Malaysia.

Tetapi menjadi satu ilmu yang boleh dikongsi bersama oleh semua kaum dan agama di Malaysia sebagai satu budaya kebangsaan Malaysia.

Barangkali kita pasti terbiasa dengan tulisan jawi dan khat di papan tanda, mata wang Ringgit Malaysia, bingkai hiasan di rumah-rumah masyarakat Melayu-Islam bahkan pernah tular di media sosial khabarnya di pejabat seorang menteri di sebuah kementerian pun ada tersangkut bingkai tulisan khat-al-Quran yang amat cantik berlatarkan gambar sang menteri yang sedang tekun bekerja di mejanya.

Sehingga kini tidak diketahui apakah niat sebenar gambar itu disebarkan?

Jika ditinjau dari sudut sejarah, tulisan jawi adalah satu bukti yang melambangkan bahawa bangsa Melayu bertamadun dan berperadaban.

Sebagaimana seni kaligrafi Cina yang menggambarkan betapa hebatnya tamadun Cina, maka itu jugalah yang terzahir pada seni khat atau kaligrafi Melayu-Islam. Tulisan jawi bukan sekadar satu tulisan tetapi membawa bersama aspek bahasa yang mempunyai pengaruh Arab dan berinovasikan Melayu.

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1972 menjelaskan: "Chara menchiptakan huruf baru dengan mengikut chorak-rupa huruf Arab itu memang lazim serupa di-mana2 terdapat sesuatu bangsa bukan Arab yang telah memeluk agama Islam dan menggunakan abjad Arab."

Seterusnya beliau menjelaskan lagi: "Bahasa Melayu yang tadinya bahasa pasaran terbatas itu telah mengalami suatu perubahan besar, suatu revolusi. Selain dari diperkaya perbendaharaan-katanya dengan istilah2 dan perkataan2 Arab dan Farsi, bahasa Melayu juga dijadikan bahasa pengantar utama Islam diseluruh Kepulauan Melayu-Indonesia, sehingga pada abad keenambelas selambat-lambatnya ia telah berjaya menchapai peringkat bahasa sastera dan agama yang luhur dan sanggup menggulingkan kedaulatan bahasa Jawa dalam bidang2 ini."

Semua kenyataan ini menunjukkan bahawa seni khat mahu pun tulisan jawi bukanlah suatu yang asing bagi rakyat Malaysia.

Kewujudannya adalah sebagai suatu elemen yang melengkapkan seni budaya warisan Malaysia yang perlu dipertahankan. Untuk mempertahankannya, maka satu usaha pendedahan dan pembelajaran pada peringkat awal amatlah perlu agar generasi yang dilahirkan kenal dan tahu tentang budaya dan warisan mereka tanpa mengira latarbelakang agama.

Penulis berpandangan bahawa isu ini sebenarnya sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih besar melibatkan persoalan parti politik tertentu.

Maka isu ini dilaungkan bagi menampakkan drama betapa seriusnya isu ini dan membolehkan rakyat melupai isu lain yang sebenarnya sangat merisaukan pihak-pihak yang tertentu.


* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/41893/KOLUMNIS/Seni-khat-atau-tulisan-jawi

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Read more...