30.7.21

Kayu resam sesuai salin ayat suci

 Shah Alam: Penggunaan kayu khat atau handam untuk menyalin semula ayat suci al-Quran memberi kesan berbeza bergantung kepada jenis alat tulis yang digunakan penyalinnya.

Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu Mohd Zulfikri Mohd Sobri berkata, setiap alat tulis berkenaan memberi kesan berbeza kepada tulisan.

“Penggunaan buluh sebagai handam adalah untuk menaikkan tona ayat suci al-Quran yang disalin. Buluh berkenaan pula terdiri daripada pelbagai saiz serta diimport dari Iran, Nigeria serta Mesir.

“Kayu resam yang mudah diperoleh di Malaysia, Indonesia selain Kemboja atau negara Nusantara lain pula digunakan untuk menampakkan lagi kesan terang serta jelas pada ayat suci al-Quran yang disalin,” katanya ketika ditemui di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini.

Menurut Mohd Zulfikri yang bekerja di situ sejak 10 tahun lalu, ada dua saiz kayu khat yang digunakan iaitu saiz dua milimeter untuk menulis huruf dan saiz 1.3 milimeter bagi menulis baris.

Mohd Zulfikri berkata, pihaknya gemar menggunakan kayu resam sebagai handam kerana ia mudah digunakan selain tahan lama

“Mata kayu resam ini boleh diraut sehingga sehalus jarum dan ia tidak mudah patah. Pada masa sama, ada lekuk semula jadi pada permukaan kayu resam dan ia memudahkan genggaman penulis.

“Bagi buluh pula, saiznya juga pelbagai, ada yang besar dan sebaliknya. Ia bergantung kepada apa yang hendak dilakukan terhadap ayat suci al-Quran berkenaan seperti mahu menjadikannya lebih tebal, tipis dan sebagainya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mohd Zulfikri, dakwat digunakan pula sama ada diimport dari Jerman atau Jepun. Ini kerana, kedua-dua dakwat berkenan berkualiti tinggi selain tidak pecah apabila ditulis di atas lebaran kertas.

Mohd Zulfikri berkata, bagi memastikan dakwat diletak di dalam bekas untuk menulis ayat suci al-Quran tidak kering, pihaknya meletakkan benang sutera di dalamnya.

“Dengan meletakkan benang sutera, dakwat tidak akan kering malah tidak tumpah jika diterbalikkan. Ia juga mengekalkan kepekatan dakwat seterusnya memastikan kualiti dakwat pada lebaran kertas sentiasa sama.

“Sebagai alternatif, kami juga menggunakan jelaga yang dicampur dengan gam Arab sebagai dakwat namun ia tidak selalu digunakan,” katanya ketika ditemui.

Proses penulisan al-Quran bermula dengan lakaran huruf menggunakan pensel di atas lebaran kertas yang sudah disiapkan dengan motif tertentu sebagai bingkai.

Menurut Mohd Zulfikri, lakaran berkenaan kemudiannya disemak berulang kali bagi memastikan tiada kesilapan di dalamnya.

Disiarkan pada: Julai 13, 2015 @ 7:22am