30.7.21

Dipuji ustazah ketika Form 2, dapat order daripada wanita istimewa pada 2018... bisnes khat pemuda ini terus berkembang - “Masa itu saya jual RM5 saja”

 

Bermula daripada minat, Muslim kini menjadikan bidang penulisan khat sebagai kerjayanya.

WALAU hanya dua tahun mengikuti subjek tulisan khat secara formal, siapa sangka tempoh yang pendek itu sudah cukup membuatkan pemuda ini jatuh cinta dengan bidang berkenaan.

Terus mengorak langkah perlahan-lahan, hobi secara suka-suka itu akhirnya bertukar menjadi sebagai kerjaya tetapnya sehingga kini.

Berkongsi detik tercetusnya minat untuk terus serius berkecimpung dalam bidang seni khat, Muslim Baihaqie berkata segala-galanya bermula dengan pujian daripada seorang ustazah ketika dia berada di tingkatan dua.

ARTIKEL BERKAITAN: Balik Malaysia, wanita ini belajar Tezhip sendiri-sendiri untuk bina kerjaya... ‘simpan’ ijazah seni bina dari UK - “Duit dapat, pahala pun dapat”

ARTIKEL BERKAITAN: Cayalah! Remaja Cina ini belajar seni khat jawi, rakan sekelas Melayu diajar Mandarin, “Kami pernah nyanyi Alif Ba Ta beramai-ramai”

"Ketika mula masuk sekolah menengah aliran Arab, tingkatan 1 dan 2 ada subjek tulisan khat. Hendak dijadikan cerita masa sedang buat latihan, ustazah round tengok murid-murid dia. Bila sampai tempat saya, dia belek dan puji... masa tu rasa tulisan saya biasa saja.

"Tapi dek pujian tu, saya rasa macam satu suntikan semangat. Naik tingkatan 3 dan ke atas, subjek tu dah tak ada tapi saya masih lagi pegang pensil khat sekali sekala.

"Saya pertama kali sertai pertandingan tulisan khat anjuran masjid dekat kawasan kampung ketika tingkatan 4, tapi tak mendapat apa-apa tempat... saya masuk sekadar cari pengalaman saja.



Muslim mula jatuh cinta dengan tulisan khat pada usia 14 tahun, dan mula serius menjadikannya sebagai kerjaya tetap sejak 2016.

"Tak putus asa, masa tingkatan 5, ada pertandingan peringkat zon dan saya terpilih wakili sekolah. Terkejut dan tak sangka dapat jadi johan sebab semua peserta bukan calang-calang. Itu yang lebih membakar semangat saya," katanya kepada mStar.

Menurut pemuda berusia 27 tahun yang berasal dari Nilam Puri, Kelantan ini, hobinya itu terhenti seketika ketika dia melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Sehinggalah ketika semester akhir, saya nak cari duit poket. Kebetulan institusi tempat saya belajar anjur pertandingan tulisan khat. Saya dah lama tak pegang pensil khat tapi cuba juga.



Tidak menang tangan! Muslim banyak menerima tempahan daripada pelanggan yang mahu menjadikan tulisan khat sebagai cenderahati serta hadiah.

"Saya buat latihan dulu dan muat naik hasilnya di Facebook. Dari situ, ramai pula yang like dan ada yang nak order. Ada seorang pelanggan tu request saya buat khat nama dia.

"Mula-mula tu saya nak bagi ikhlas sebab saya tak pernah jual pun. Tapi dia nak beri juga... seingat saya masa itu saya ambil RM5 saja. Sebelum serah padanya, saya sempat upload khat itu di Facebook dan tulis 'terima kasih sudi ambil tempahan dengan saya'.

"Bertitik tolak daripada situlah, akhirnya ramai yang order. Itulah permulaan bisnes kecil-kecilan saya. Alhamdulillah, kini sudah hampir lima tahun saya buat bisnes tulisan khat sepenuh masa," katanya yang senang disapa sebagai Muslim.

Kenangan paling manis, saya dapat order daripada seorang customer pada tahun 2018. Siapa sangka, daripada jadi pelanggan, dia kini menjadi suri hati saya.

MUSLIM BAIHAQIE

PENULIS KHAT

Menurut Muslim, terlalu banyak kenangan manis sepanjang lima tahun dia berkecimpung dalam bidang tersebut.

Antaranya, hasil karya tulisan khatnya sudah sampai ke luar negara seperti United Kingdom (UK), Singapura dan Brunei.

"Selain itu, saya terharu apabila karya saya dijadikan cenderahati kepada artis-artis antaranya Khai Bahar, Izzue Islam dan Imam Muda Najdi.



Bisnes khat Muslim kini beroperasi di sebuah rumah kedai di Nilam Puri, bersama isterinya, Nur Sakinah Mohd Azmi yang menyediakan perkhidmatan jahitan pakaian.

"Tapi kenangan yang paling manis, saya masih ingat lagi dapat order daripada seorang customer pada tahun 2018. Dia order khat tulisan namanya. Siapa sangka, daripada jadi pelanggan, dia kini menjadi suri hati saya," ceritanya lagi.

Bisnes khat Muslim kini beroperasi di sebuah rumah kedai di Nilam Puri, bersama isterinya, Nur Sakinah Mohd Azmi yang menyediakan perkhidmatan jahitan pakaian.

Selain tulisan khat nama, Muslim menerima tempahan ayat suci Al-Quran di mana harga ditetapkan mengikut saiz.



Hampir 90 peratus tempahan yang diterima Muslim adalah secara atas talian (online).

Bangga kerana menjadi salah seorang yang mengagungkan tulisan jawi, Muslim dalam masa yang sama berharap agar pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif agar tulisan yang menjadi jati diri Melayu satu ketika dulu itu terus 'hidup'.

"Mungkin ada segelintir daripada anak muda yang tak begitu kenal dengan tulisan jawi. Mudah-mudahan dengan inisiatif pihak-pihak tertentu, ia sedikit sebanyak memberi pendedahan.

"Sayang kalau tulisan jawi ini diketepikan dan akhirnya dilupakan," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!