30.7.21

Berdakwah menerusi lukisan kaligrafi

 Nur Fatin Mohd Satar - Mac 2, 2016 @ 12:03am

SESIAPA juga boleh berdakwah, malah setiap daripada kita semua adalah pendakwah. Cuma, pendekatan dakwah itu mungkin berbeza dan tidak dinafikan ada antara kita yang tidak berniat untuk menjadi pendakwah tetapi sudah melakukan tugas dakwah secara tidak langsung.

Itulah fasa perubahan yang berlaku kepada pereka grafik, Ismail Md Zin, 60, yang menzahirkan karya seni kaligrafi khat kontemporari digital dengan suntikan elemen moden hingga mengangkat seni khat ke satu tahap lebih tinggi.

Mendekati anak kelahiran Kulim, Kedah, yang berjinak sebagai pelukis sejak sepuluh tahun lalu, beliau berkata minat menghasilkan kerja seni khat lahir daripada rasa tanggungjawab menyebarkan kalimah yang baik untuk dihayati serta diingati.

Lulusan bidang Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau dan tiga rakannya menubuhkan kumpulan dinamakan Tajdid Islamic Arts Group (TIAG) bersandarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit." (Surah Ibrahim, ayat 24) .

Sebar dakwah

Katanya, maksud daripada ayat itu dapat difahami bahawa perkataan baik jika dipasakkan dalam hati akan memberi kesan dan apabila disampaikan atau disebarkan, maka dakwahnya akan lebih meluas serta mencapai jumlah yang ramai.

"Dakwah bukan sahaja dengan cara berkomunikasi melalui ceramah, malah kita boleh disampaikan secara fizikal tanpa berkomunikasi. Kita berhubung dengan pandangan mata dan hati manusia. Itulah misi TIAG dengan tema kalimah 'Lailahaillallah'.

"Melalui kata-kata baik dipersembahkan dalam bentuk seni kaligrafi ini diharap lebih ramai menghayati serta memahami maksudnya," katanya yang ditemui di pameran lukisannya yang sedang berlangsung di lobi Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur sehingga 2 Oktober depan.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pelukis grafik berkata, minat mendalam terhadap seni lukis mendorongnya untuk meneroka cabang lain dan akhirnya mencuba menghasilkan lukisan kaligrafi kalimah Allah menggunakan cetakan serta lukisan tangan.

Ismail berkata, firman Allah SWT mengenai tujuan manusia diciptakan untuk beribadah kepada-Nya membuatkan dirinya terus berfikir dan akhirnya akur bakat seni dikurniakan adalah landasan terbaik untuk beliau menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

Bapa kepada 15 anak itu juga merasakan peranan sebagai ketua keluarga banyak mempengaruhi untuk menjadi insan lebih bertanggungjawab bukan sahaja kepada ahli keluarga, juga agama melalui cara yang diketahui iaitu menghasilkan 'katakata baik' dalam bentuk lukisan khat.

Cerita kebesaran Allah SWT

"Cara saya adalah dengan mempamerkan lukisan kaligrafi yang mempunyai pelbagai warna, bentuk dan paling utama mesej ingin disampaikan. Salah satu lukisan saya iaitu Blue Galaxy (Galaksi Biru) berbentuk bumi yang dipenuhi kalimah Allah adalah lukisan dimensi 2D.

"Lukisan berlatarkan galaksi biru yang bercahaya itu menceritakan keagungan dan kebesaran Allah SWT serta alam ciptaan-Nya. Ia juga menjelaskan betapa kerdilnya kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini," katanya yang kini memiliki 100 koleksi lukisan kaligrafi," katanya.

Air mata menitis

Katanya, beliau pernah melukis kalimah Allah sambil melafazkan ayat itu sehingga air mata menitis kerana terlalu asyik, seolah-olah ayat itu meresap ke seluruh jiwa. Menurutnya, semua lukisan yang terpamer mempunyai nilai estetika tersendiri serta mesej yang ingin disampaikan.

Beliau berkata, seni kaligrafi muncul sudah lama dengan warna keemasan dan hitam putih tetapi beliau menampilkan kelainan menggunakan kemudahan teknologi diserikan kepelbagaian warna, bentuk, grafik dan teknik.

Tidak dinafikan, ada sesetengah pihak tidak bersetuju malah menganggap melukis dan mencetak kalimah Allah dalam bentuk lukisan seni khat adalah satu kesalahan tetapi baginya itu cara untuk menyampaikan mesej terkandung dalam kalimah yang baik supaya dapat menghasilkan kesan yang baik juga.

Berkongsi kenangan manis yang sentiasa membuatnya bersemangat untuk meneruskan usaha dakwah itu ialah pengalaman didekati penyanyi utama kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam, yang tertarik dengan lukisannya.

Ismail berkata, ketika itu beliau membuat pameran solo buat kali pertama di NSTP pada 2013 dan David yang kebetulan datang kerana ada urusan melawat ke ruang pameran apabila melihat lukisan yang dipamerkan.

Tarik minat pelancong Eropah

Penyanyi itu bertanyakan tema serta mesej salah satu lukisan dipamerkan dan pada menunjukkan minat kepada penerangan diberikan. Insiden sama turut berlaku ketika mengadakan pameran bersama tiga rakannya dan peserta termasuk kalangan pelukis dari Eropah.

"Seorang pelancong Eropah hampir separuh hari meneliti lukisan saya dengan penuh minat. Kemudian bertanyakan maksud setiap perkataan yang dilukis seperti kalimah Allah, Muhammad, Lailahailallah, Subahanallah dan ayat suci al-Quran yang lain.

"Kemudian dia berseloroh dengan saya mengatakan nampaknya dia perlu berkahwin dengan wanita Melayu gara-gara tertarik dengan kaligrafi itu. Begitulah nampaknya kuasa lukisan dalam menarik minat mereka yang melihat serta menghayatinya," katanya.

Namun, beliau mengakui bukan mudah untuk berdakwah melalui lukisan kerana selain niat yang kukuh, hasil karya perlu itu perlu menyampaikan mesej yang dimaksudkan supaya kesannya dapat dirasai oleh mereka yang melihatnya.

Katanya, kaligrafi dilukis menggunakan kaedah tepat dan warna yang pelbagai serta maksud indah daripada kalimah disampaikan, dengan izin Allah SWT akan menarik perhatian siapa sahaja termasuk kalangan bukan Islam.

Ismail berkata, satu kejayaan baginya apabila orang bukan Islam turut menunjukkan minat untuk mengetahui maksud di sebalik lukisan kerana mungkin dari situ akan terdetik di hati mereka untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.