NURULFATIHA MUAH FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR & ROSLI TALIB | | 23 Ogos 2019
BUKAN sahaja pena khat, tetapi dakwah berkualiti memainkan peranan penting dalam penghasilan tulisan khat yang indah.
A
A
JARI-JEMARINYA erat memegang pena khat yang diperbuat daripada buluh dengan saiz mata pen 4 milimeter. Sebelum mula menulis, lelaki itu mencelup mata pena itu dalam dakwat hitam.
Ahmad Abdul Hadi Shamsul atau Hadi nampaknya mula berkarya. Gerak tangannya begitu perlahan. Beliau nampak begitu berhati-hati untuk menyudahkan hasil tulisan khatnya iaitu Mengangkat Martabat Tulis Khat.
Sesekali mata pena akan dicelup dengan dakwat lagi. Katanya, ia supaya pena dapat 'ditarikan' dengan lebih lancar. Pena yang bersaiz mata lebih kecil akan digunakan untuk baris dan ‘bunga-bunga’ khat yang cukup indah.
Begitulah prosesnya hingga terhasilnya karya seni khat yang sangat kemas dan cantik.
Secara keseluruhannya, Hadi berkata, beliau menggunakan empat jenis mata pen untuk menghasilkan tulisan khat berkenaan sekali dengan baris dan bunganya untuk mendapatkan susunan ayat yang cantik dan seimbang. Di bawah frasa ayat berkenaan, tertera tauqi' (tandatangan) beliau sebagai penulis.
Bukan beliau sahaja, malah penggiat seni khat yang juga penulis al-Quran Mushaf Malaysia, Abdul Baki Abu Bakar turut melalui proses yang sama ketika menghasilkan karya.
Kepada Sinar Islam, dua figura hebat itu tidak lokek berkongsi cerita tentang keindahan seni khat itu.
"Ia (khat) bukan sekadar seni semata-mata, ada sesuatu yang sangat bernilai. Khat ialah budaya orang Melayu yang patut diteruskan dan tradisi itu sudah lama ada di Malaysia. Lihat sahaja manuskrip lama dan prasasti lama, semua ditulis dalam khat dan jawi," demikian kata-kata yang terpacul daripada dua insan berkebolehan itu.
Asal usul
Disyorkan artikel ini:
• Penganjur pertimbang bawa isu jawi ke mahkamah
ABDUL Baki berpengalaman menulis khat lebih 20 tahun dan pernah dijemput untuk menulis mushaf al-Quran Dubai pada tahun 2014, 2015 dan 2016.
Abdul Baki memulakan bicara dengan bercerita tentang asal usul tulisan khat.
Jelas beliau, khat sebenarnya sudah wujud sejak sebelum zaman Nabi Muhammad SAW lagi.
"Ada satu kaum bernama Nabati yang duduk berhampiran Jordan. Menurut catatannya, kaum itu memang maju. Sebelum kedatangan Islam, mereka sudah ada tulisan sendiri.
"Jika dilihat tulisan mereka, memang kita tak boleh baca, tetapi tulisan mereka itu ada asasnya. Itulah sebenarnya asas huruf-huruf Arab yang bunyi aa, ba, ta dan lain-lain," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Diwani Kraf di Taman Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ujar Abdul Baki, 45, tulisan mereka lebih kepada aksara yang biasa dilihat pada prasasti lama.
Ketika itu, katanya, belum ada titik lagi. Dari situ masyarakat Arab mencipta huruf hinggalah selepas masihi dan zaman Rasulullah SAW yang mana al-Quran ditulis, cuma tidak dibukukan secara elok.
Pada zaman Saidina Uthman RA, barulah al-Quran dikumpulkan dan ditulis semula dengan sebaik mungkin.
Mengikut catatan historiografi, kata Abdul Baki, terdapat beratus-ratus jenis tulisan khat di dunia. Namun, hanya tujuh jenis khat standard yang biasa digunakan di seluruh negara termasuk Malaysia. Ia terdiri daripada khat nasakh, thuluth, riq'ah, diwani, kufi, raihani dan farisi.
Beliau memberitahu, khat nasakh dan thuluth paling lazim digunakan.
"Penggunaan khat nasakh banyak untuk menulis ayat-ayat al-Quran, manakala khat thuluth pula digunakan untuk tulisan di masjid.
"Khat thuluth boleh divariasikan hurufnya dan bentuknya. Kadangkala ada bentuk bersegi atau bulat. Ia seperti tulisan Cina yang ada banyak banyak jenis. Begitu juga font tulisan dalam komputer yang ada pelbagai jenis antaranya Aerial, Times New Roman dan sebagainya," katanya.
Pengarah Urusan Diwani Kraf itu turut membetulkan kekeliruan orang ramai tentang tulisan khat dan jawi.
Tegas Abdul Baki, jawi sebenarnya bukan tulisan.
"Ia merupakan kaedah ejaan seperti ejaan sin alif ya (saya), itu ialah jawi iaitu mengeja bahasa Melayu biasa. Namun, apabila kita menulis sin alif ya, itu barulah khat sama ada ia ditulis dalam khat nasakh, rid'ah, thuluth dan sebagainya.
"Ini bermakna, jika ia ditulis barulah jadi khat. Maknanya khat itu daripada jawi dan kita boleh menulis ayat al-Quran, hadis dan tulis bahasa Malaysia yang biasa," katanya sambil mengakui bahawa tulisan khat dan jawi tidak boleh dipisahkan.
Kesungguhan
Sesi perbualan kami semakin rancak apabila Abdul Baki mengimbas kembali pembabitannya dalam seni khat lebih tiga dekad lalu.
Bapa kepada empat cahaya mata itu mula berjinak-jinak dengan tulisan khat sejak di bangku sekolah rendah. Ketika itu, beliau belajar di Maahad Tarbiah Islamiyah di Kedah. Dari situ, timbulnya minat beliau terhadap seni itu apabila melihat beberapa ustaznya yang pandai menulis khat.
Malah, beliau pernah menulis mural khat di dinding sekolah dan masjid-masjid dalam skala besar ketika sekolah menengah.
Langkahnya semakin panjang apabila Abdul Baki ditawarkan bekerja di Yayasan Restu sebagai penulis mushaf pada tahun 1996. Beliau antara orang penting yang menulis al-Quran Mushaf Malaysia bersama tiga rakan lain selama tiga tahun bermula tahun 1997. Ia kemudian dilancarkan pada tahun 2000.
"Saya berhenti kerja pada tahun 2010 dan mengusahakan Diwani Kraf," ujar beliau yang pernah dipertanggungjawabkan menulis watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 hinggalah ke-16 iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Muhammad V dan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kepada satu soalan, Abdul Baki berkata: "Tulisan khat ialah satu budaya orang melayu yang patut diteruskan. Tradisi itu sudah lama ada di Malaysia. Lihat sahaja manuskrip lama dan prasasti lama, semua ditulis dalam khat dan jawi, termasuklah pertabalan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini."
Bagi mereka yang bergiat dalam seni khat, beliau menitipkan pesanan agar menyimpan niat yang betul iaitu kerana ALLAH SWT.
"Bukan untuk tujuan bisnes atau niat lain. Kita kena niatkan kerana ALLAH SWT. Kedua, niat supaya kita dapat menulis ayat-ayat al-Quran dengan sebaik mungkin.
"Ayat al-Quran ini ialah kalam ALLAH yang paling mulia. Apabila kita hendak menulisnya, ia mestilah ditulis dengan baik dan cantik agar beroleh pahala dan manfaat kepada yang membacanya, apatah lagi yang menulisnya," katanya.
Ujar beliau, meskipun seni khat menarik minat ramai, namun bukan semua orang mampu menulis khat dengan baik kecuali berusaha bersungguh-sungguh.
"Walaupun seseorang itu mempelajarinya, namun jika dia tidak berusaha bersungguh-sungguh, ia tetap tidak akan dapat juga sebenarnya," akhiri bicaranya.
Fokus
HADI begitu teliti dan berhati-hati untuk menghasilkan tulisan khat yang bukan sahaja cantik, tetapi juga seimbang.
Apa yang dilalui oleh Abdul Baki turut sama dirasai oleh Hadi yang juga anak didiknya.
Pemuda berusia 24 tahun itu berjinak-jinak dengan seni khat sejak berada di Tingkatan 3 lagi ketika belajar di Sekolah Maahad Pontian, Johor. Segalanya bermula apabila namanya 'naik' untuk menjadi wakil kelas pada pertandingan khat sebelum menang dan mewakili sekolahnya ke peringkat seterusnya.
Siapa sangka penyertaannya telah menjadi batu loncatan baginya untuk memulakan langkah secara serius dalam penulisan khat lelaki itu hingga berjaya menamatkan Diploma Seni Mushaf di Yayasan Restu.
Kini, Hadi merupakan seorang kaligrafi dan pereka di Kufi Store Shah Alam. Beliau sebelum itu pernah menjadi penulis mushaf di Yayasan Restu selama sembilan bulan selepas tamat pengajian di yayasan berkenaan pada tahun 2016.
Kepada penulis, beliau berkata, pada matanya, seni tulisan khat begitu indah.
"Penulisan khat sebenarnya salah satu syiar Islam dan merupakan satu bentuk dakwah.
"Asal penulisan al-Quran ialah tulisan khat. Jadi keindahan itu melibatkan seni tamadun Islam yang perlu kita jaga. Jika ditelusuri kembali sejarah penulisan khat, ia penuh dengan linangan air mata dan tumpahan darah.
"Pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA, apabila turunnya wahyu, ada ramai huffaz yang akan menghafaz ayat al-Quran. Namun apabila terjadi satu peperangan, ramai para huffaz yang syahid.
"Pada zaman Saidina Uthman RA, mereka mengumpulkan al-Quran daripada lembaran-lembaran dan ditulis dalam tulisan khat. Mereka begitu mempertahankan seni khat dengan jiwa raga mereka yang kekal sehingga hari ini," ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di Kufi Store Shah Alam di Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kesabaran
Mengulas tentang peralatan ketika menulis khat, Hadi yang menguasai tujuh jenis khat iaitu naskh, riq'ah, thuluth, diwani, farisi, kufi dan diwani jali berkata, bukan sebarangan dakwat yang boleh digunakan untuk menulis khat yang berkualiti dan cantik. Kebiasaannya, beliau menggunakan dakwat aero color atau schmincke dari Jerman, Jepun, Iran dan lain-lain.
"Selain dakwat, hendak menulis khat perlu ada pen, bekas dakwat, benang sutera (untuk diletakkan dalam bekas dakwat), tempat pengasah mata pena, pelapik tangan dan pelapik tulisan. Mata pen juga ada banyak saiz yang perlu disesuaikan dengan jenis khat yang hendak ditulis.
"Saya lebih suka gunakan benang sutera diletakkan di dalam bekas dakwat kerana ia lebih lembut dan mata pen tidak mudah terhakis dan stabil untuk menulis," katanya sambil menjelaskan tulisan khat mampu bertahan lama jika ditulis di atas waraq muqahar (sejenis kertas tradisional yang ditulis oleh penulis-penulis khat terdahulu dan biasa digunakan dalam pertandingan khat).
Sepanjang empat tahun berpengalaman dalam bidang itu, Abdul Hadi merumuskan, menulis khat bukan suatu yang mudah.
"Ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan fokus. Itu antara yang membuatkan ia 'mahal', selain komitmen kita dalam penghasilan sesebuah karya," ujarnya.
Kepada anak muda, beliau menyarankan supaya ceburilah bidang khat kerana ia bukan sahaja membawa kebaikan kepada diri, tetapi juga agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri.
"Kalau bukan kita yang menjaga tulisan tamadun Islam yang merupakan seni Islam tulisan khat seni al-Quran, siapa lagi yang hendak menjaganya?
"Sekurang-kurangnya jika tidak mampu menulis, fahamilah jenis-jenis khat dan aplikasikan di beberapa tempat ataupun paling tidak, tahu tentang sejarahnya. Sekurang-kurangnya kita dapat menghayati seni khat itu sendiri," katanya.
Apapun, baik Abdul Baki mahupun Hadi, kedua-duanya mahu melihat seni kaligrafi Islam itu terus dipertahankan dan diwarisi kerana ia begitu signifikan dengan Islam serta jawi, selain dekat dengan bangsa Melayu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/44228/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Khat-seni-paling-agung
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf