Hab dakwah terbesar
Muhammad Saufi Hassan
Putrajaya: Pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Madinah dan mengeluarkan terjemahan kitab suci berkenaan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Khmer.
Itu pencapaian diperoleh Kompleks Nasyrul Quran kelolaan Yayasan Restu yang sudah mencetak lebih 306,000 mashaf al-Quran sejak beroperasi tahun lalu.
Kompleks pengeluaran kitab suci itu melonjak nama negara sekali gus bakal menjadi hab dakwah terbesar di dunia apabila perancangan untuk mengeluarkan teks terjemahan dalam bahasa lain diperluaskan.
Pengerusi Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, kompleks ini adalah pusat percetakan al-Quran bersepadu utama di rantau Asia Tenggara dan juga kedua terbesar di dunia selepas Madinah.
“Sejak ia beroperasi, kami sudah mencetak mashaf al-Quran lebih 306,000 naskhah manakala bahan dakwah lain seperti naskhah Yassin sudah dicetak lebih 657,000 naskhah.
“Buat masa ini kami mempunyai 10 jenis al-Quran yang dikeluarkan antaranya al-Quran terjemahan bahasa Inggeris, Palestin, Fattani, Khmer, Nusantara dan beberapa yang lain.
“Kami ada membuat perancangan untuk mengeluarkan lebih banyak terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa antaranya membabitkan bahasa di negara Afrika bagi mengembangkan syiar Islam di rantau berkenaan,” katanya.
Abdul Latiff berkata, terdapat beberapa negara antaranya Turki dan Arab Saudi berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan yayasan berkenaan bagi memperluaskan lagi pengeluaran al-Quran.
Beliau berkata, usaha perluasan itu akan dibuat secara berperingkat dan ia juga akan dimasukkan dalam perancangan masa depan supaya negara ini menjadi hab dakwah terbesar di dunia.
“Fokus utama kompleks ini adalah perluasan lebih banyak mashaf al-Quran daripada pelbagai bahasa dan keadaan itu boleh menarik minat individu lain untuk mendampingi Islam sekali gus memeluk agama suci ini.
“Kami juga akan melatih lebih ramai tenaga pakar terutama golongan muda supaya mereka berminat untuk menyalin al-Quran selain mendalami seni khat yang begitu unik,” katanya.
Ketika ditanya berhubung perancangan Nasyrul Quran untuk mengeluarkan bahan dakwah selain al-Quran, Abdul Latiff berkata, pihaknya mempunyai perancangan masa panjang termasuk mengeluarkan teks hadis namun usaha pengukuhan pengeluaran al-Quran diutamakan buat masa ini.
“Visi kami adalah menjadikan kompleks ini sebagai Pusat Penerbitan dan Percetakan al-Quran yang kukuh dan mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan penghasilan kitab suci yang berkualiti.
“Namun begitu, kami juga sedar bahawa pengeluaran bahan dakwah lain turut penting dan kita akan melihat perkara itu termasuk kemungkinan mengeluarkan naskhah teks hadis.
“Untuk merealisasikan impian itu, kami perlu menjalankan kajian dan pembangunan terlebih dulu supaya kami tahu hala tuju dan kekuatan naskhah yang dihasilkan,” katanya.