26.8.21

Nafas baharu seni khat beralih ke era digital

Nafas baharu seni khat beralih ke era digital

Hilmi Malik
Nafas baharu seni khat beralih ke era digital
Teknologi digital tidak hanya terhad pada seni khat sahaja, malah boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti Cina, India dan Jepun. - Astro AWANI/Hilmi Malik
Isu tulisan khat menjadi buah mulut ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini sehingga menjadi polemik yang cukup panjang.
Realitinya, tiada keperluan untuk mensensasikan isu berkenaan kerana khat sinonim sebagai seni tulisan, guna kemahiran tangan atau secara manual.
Seiring dengan perubahan zaman khususnya di era digital, khat kini melalui pemodenan dengan pengenalan teknologi digital di sebalik seni kaligrafi.
Sempena Hari Kaligrafi Sedunia yang disambut pada 14 Ogos setiap tahun, Astro AWANI mendekati seorang penggiat seni khas Saiful Bahari Sudarno.
Malah teknik baharu seni ini, kata beliau, menjanjikan kualiti yang jauh lebih baik selain menjimatkan masa.
"Dahulu kita lihat perlunya peralatan khusus seperti pen atau pensel serta dakwatnya tersendiri namun sekarang pada zaman era transformasi ini ia tidak lagi perlu kerana telah pun didigitalkan.
"Antara contoh seni kaligrafi yang telah digitalkan ialah yang dihasilkan secara sulam, nampak mudah tetapi sebenarnya tidak kerana ia memerlukan proses atau penelitian yang terperinci.
"Tulisan khat ini ditranskripsi daripada tulisan tangan menjadi digital. Benangnya disusun sama seperti tekat tapi kita susun secara digital dan dihantar ke mesin yang khas," kata Saiful Bahari lagi.
Saiful Bahari juga berkata, teknologi ini juga tidak terhad kepada seni khat sahaja, malah ia turut boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti China, India dan Jepun.
Katanya, peralihan industri itu kepada dunia digital memberi ruang kepada anak muda yang mahir dalam bidang teknologi dalam memperoleh pendapatan.
Sementara mengenai harganya pula, Saiful Bahari berkata, setiap hasil seni ini bergantung kepada reka bentuknya termasuk saiz dan jenis bahannya.

Read more...

13.8.21

Magis kaligrafi, mural Shah Tumin

 Mahaizura Abd Malik

SHAH Tumin bersama karya terbaharunya sempena Hari Kemerdekaan. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin
SHAH Tumin bersama karya terbaharunya sempena Hari Kemerdekaan. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin

DEMI menzahirkan rasa cinta terhadap negara dan menyemarakkan semangat patriotik, Mohd Shah Tumin menghasilkan mural potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan elemen seni kaligrafi.

Uniknya, potret bersaiz 1.8 meter persegi itu dibentuk dengan menulis nama 'Al-Sultan Abdullah' yang mengambil masa 14 jam keseluruhan tempoh untuk disiapkan sekali gus karya berkenaan pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia.

Mohd Shah, 36, berkata, pemilihan melakar wajah pemimpin negara berkenaan pada tembok rumahnya di Shah Alam, Selangor kerana mengambil kira situasi semasa.

"Biasa saya tengok Tunku Abdul Rahman begitu sinonim dengan Hari Kemerdekaan, jadi saya hendak ubah cari kelainan mengambil kira Al-Sultan Abdullah sebagai ketua negara pada masa ini.

"Saya berpandangan tidak salah menjadikan baginda sebagai ikon untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan kali ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lakaran luar biasa berkenaan mula dihasilkannya seorang diri pada penghujung Julai lalu.

"Idea untuk melakar mural potret dalam bentuk kaligrafi tercetus sejak dua bulan lalu selepas saya membuat sedikit penyelidikan tiada lagi lakaran mural menggunakan tulisan jawi pada dinding dihasilkan di Malaysia berbanding kebanyakannya cuma pada kertas.

"Saya memperuntukkan masa antara 40 minit hingga sejam sehari dalam tempoh dua minggu untuk menyiapkan mural ini kerana cabarannya menulis tulisan halus pada tembok dinding yang mengerutu selain cuaca panas.

"Namun, semua faktor ini tidak mematahkan semangat saya sebaliknya memberi perangsang supaya saya siapkan karya ini walaupun secara sedikit demi sedikit," katanya yang berkongsi pembikinan lakaran berkenaan di saluran YouTube miliknya.

Lakaran dihasilkan Shah Tumin. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin
Lakaran dihasilkan Shah Tumin. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin

Katanya, dia menggunakan medium cat dan berus bersaiz kecil yang diubah suai sendiri mengikut kesesuaian keadaan permukaan dinding.

"Kalau menulis di atas permukaan dinding licin lebih laju pergerakkannya biasanya saya cuma gunakan pen marker, tetapi disebabkan dinding tembok rumah saya menggerutu, saya menggunakan cat yang menuntut kesabaran tinggi.

"Untuk memudahkan saya menulis tulisan jawi itu, saya gunakan tiga saiz berus kecil yang diubah suai antara lima milimeter hingga satu sentimeter," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 21, 2020 @ 10:00pm



Read more...

Potret khat dedikasi buat Allahyarham Siti Sarah

 

  • MyMetro
  • Mutakhir
  • Ekhwan Haque Fazlul Haque
    ekhwan@hmetro.com.my

    Hulu Terengganu: Kehilangan penyanyi Siti Sarah Raisuddin akibat Covid-19 Isnin lalu, ternyata memberi impak kepada rakyat negara ini.

    Tidak terkecuali Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani, 30, yang mendedikasikan kemahiran kaligrafi khat menghasilkan potret pelantun lagu Kesetiaan itu.

    "Saya mendedikasikan kaligrafi potret khat untuk untuk rakyat Malaysia kenang bagaimana perjuangan seorang isteri dan ibu mengharungi hidup berjuang melawan Covid-19.

    "Perjalanan hidup Siti Sarah memang meruntun jiwa dan banyak kebaikan yang dilakukan ketika hayatnya dikongsi masyarakat dan rakan artis," katanya kepada Harian Metro.

    Dia yang berasal dari Kuala Berang berkata, kaligrafi potret khat ini menggabungkan seni kontemporari dan tradisional.

    Katanya, dia menghabiskan masa tiga jam untuk menyiapkan karya itu yang akan dihadiahkan kepada Shuib jika berkesempatan.

    "Saya gunakan kemahiran yang ada untuk menzahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham Siti Sarah.

    "Ia boleh menjadi contoh bukan saja untuk wanita malah kepada masyarakat agar terus berbuat kebaikan dalam kehidupan," katanya.

    Katanya, dia berkongsi karyanya di laman sosial dan tidak menyangka ia akan tular dan mendapat maklum balas positif daripada netizen.

    Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, jam 5.13 pagi, Isnin lalu.

    Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas tahap oksigen menurun.

    Penyanyi itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi lelaki dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan.

    Siti Sarah bersama suami yang juga pelawak, Shuib disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.





    Read more...

    2.8.21

    Mural Khat Jawi Di Batu Gajah, Satu Lagi Tarikan Baharu Selain Kellie's Castle

    https://rileklah.com/jalan-jalan/mural-khat-jawi-di-batu-gajah-satu-lagi-tarikan-baharu-selain-kellies-castle 

    Mural Khat Jawi Di Batu Gajah, Satu Lagi Tarikan Baharu Selain Kellie's Castle
    JALAN-JALAN
    February 24, 2020 - 11:41 AM

    Macam yang kita tahu, biasanya mural sering memaparkan hasil karya lukisan ataupun tulisan di atas sesuatu permukaan misalnya wajah kanak-kanak, flora dan fauna atau yang berbentuk abstrak bagi mengambarkan sesuatu ekspresi.

    Namun, mural di Kampung Pisang, Batu Gajah ini sedikit 'rare' apabila memaparkan selawat dan zikir yang dihasilkan sendiri oleh seorang suri rumah, Nurfarahin Nordin, 26, pada November lepas yang didorong rasa cinta terhadap seni khat. 


    “Jambatan itu sebelum ini dipenuhi semak samun tapi telah dibersihkan oleh ayah mentua saya, Mohamad Ramli Othman yang juga ketua kampung.

    "Beliau mencadangkan agar saya membuat khat untuk menambah keindahan sekali gus mengingatkan kepada orang ramai yang melalui jalan ini supaya sentiasa berzikir, maka kerana minat saya berusaha menghasilkan tulisan khat jenis Khat Diwani Jali," katanya ketika ditemui Bernama.

    Bercerita lebih lanjut, Nurfarahin yang merupakan ibu kepada seorang anak berkata beliau mengambil masa selama empat minggu untuk menyiapkan kesemua lukisan menggunakan cat mural dengan kos sendiri sebanyak RM300.


    Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kerja menyiapkan lukisan mural setinggi kira-kira dua meter memerlukannya memanjat tangga dan ia dilakukan pada hujung minggu dengan dibantu suami, Mohammad Syahrul Aswad, 27, yang bekerja sebagai penasihat kewangan di sebuah bank berhampiran.


    Read more...

    Cikgu Chan teruja ajar tulisan khat, Jawi tahun hadapan

     

    Cikgu Chan teruja ajar tulisan khat, Jawi tahun hadapan

     

    KOTA BHARU – Beliau sudah berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu sekolah rendah lebih 24 tahun tetapi bermula tahun hadapan cabaran baharu menanti Cikgu Chan Seew Eng apabila bakal mengajar tulisan khat yang merupakan sebahagian daripada sukatan subjek Bahasa Melayu Tahun 4.

    Seew Eng, 54, yang merupakan Guru Penolong Kanan (Ko-Kurikulum) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail (2) di sini berkata, kali terakhir beliau aktif menggunakan kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi adalah pada tahun 1994 ketika menuntut di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

    Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Chan berkata, pada masa ini beliau dipertanggungjawab mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun Lima namun dengan kelebihannya yang pandai menulis Jawi pihak sekolah mahukannya mengajar murid Tahun Empat pula pada tahun hadapan.

    “Sudah tentu saya rasa teruja mengajar khat atau tulisan Jawi kepada anak murid, ini bermakna saya sendiri kena perbaharui balik ilmu dan kemahiran yang saya pelajari sejak tahun 1972 lagi iaitu ketika bersekolah di SK Pulau Gajah, Pengkalan Chepa.

    “Saya minat Jawi kerana ayah saya, Chan Hock Teng yang meninggal dunia pada 2003 juga mahir menulis Jawi malah saya satu-satunya daripada lima adik beradik yang menurut jejaknya,” katanya ketika ditemui di sini.

     


    Kisah Seew Eng yang pandai membaca dan menulis Jawi serta mencatat keputusan yang baik dalam subjek Pendidikan Agama Islam dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pernah disiarkan dalam Utusan Online pada April lalu.

    Sementara itu, ketika ditanya persepsi negatif sebahagian pihak mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan khat dalam sukatan Bahasa Melayu Tahun Empat tahun hadapan, Seew Eng berkata, ia seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memberi nilai tambah kepada pelajar.

    “Saya nampak ini sebagai peluang untuk pelajar menambah ilmu dan kemahiran dalam kehidupan, mereka dapat kuasai pelbagai tulisan, sekarang pun banyak papan tanda menggunakan tulisan Jawi.

    “Kita tidak perlu bimbang, pada pandangan saya ia tidak ada kaitan dengan agama tetapi memberi pelajar pengetahuan baharu malah dapat eratkan hubungan masyarakat pelbagai bangsa seperti zaman dahulu,” katanya.

    Dalam pada itu, Guru Besar SK Sultan Ismail (2), Mohammad Fadzil Mat Il berkata, pihakya merancang untuk meminta Seew Eng mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun hadapan kerana ia akan merangsang murid belajar tulisan jawi dengan lebih baik.

    “Murid akan rasa lebih seronok melihat guru yang berbangsa lain daripada mereka mempunyai minat tinggi kepada tulisan Jawi. Proses pembelajaran akan sama-sama berlaku antara Cikgu Chan dan anak-anak muridnya sendiri,” katanya. – Utusan Online

    www.indahnyaislam.my

    —-—

    Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

    https://www.billplz.com/indahnyaislam

    MYDAKWAH RESOURCES
    5628 3464 5315 (Maybank Islamik)


    Read more...

    8 Jenis Seni Khat

     https://blackrosehuntermy.blogspot.com/2014/11/8-jenis-seni-khat.html

    8 Jenis Seni Khat

    ADMINBRH.MY - 11/02/2014
    Tamadun Islam kaya dengan keseniannya. Antara seni yang menarik dalam tamadun Islam ialah  dalam penulisan. Hasil seni tulisan tangan dalam tamadun Islam dikenali sebagai seni khat. Seni khat terbahagi kepada 8 model utama. Antaranya:

    1. Khat Kufi

    khat kufi
    Credit : Dr. Kufic

    Khat Kufi berasal dari Kufah. Khat ini dijadikan hiasan pada bangunan masjid, bangunan pemerintah, kubah atau menara azan pada zaman Abasiah. Al-Quran yang pertama ditulis dalam bentuk khat kufi.


    2. Khat Thuluth

    khat thuluth





    Khat Thuluth kebanyakannya digunakan untuk hiasan sahaja seperti yang terdapat dalam mashaf uthmani (Al-Quran), nama buku atau kitab dan untuk tujuan yang lain.


    3. Khat Nasakh

    khat nasakh

    Tulisan khat jenis Nasakh ini paling banyak digunakan dalam penulisan buku-buku keagamaan. Tulisan khat jenis ini lebih mudah dibaca dan tidak mengelirukan. Khat Nasakh dilengkapkan oleh penulis Arab iaitu Al-Wazir Abu Aly Muhammad Ibn Muglah dan adiknya Abu Abdullah al-Hassan. Mereka mewujudkan peraturan untuk penulisan Khat Nasakh dengan menentukan panjang pendek huruf dan jarak antara huruf.


    4. Khat Farisi


    khat farisi



    Khat Farisi ini mula berkembang di Parsi. Bentuk hurufnya condong sedikit ke kanan. Khat Farisi banyak digunakan dalam penulisan buku kesusasteraan, nama dan tajuk karangan pada majalah dan surat khabar. Karangan dalam bahasa Urdu juga ditulis dengan khat ini. Khat jenis ini digunakan dengan meluas di Parsi, Pakistan dan Turki.


    5. Khat Riq'ah


    khat riq'ah

    Khat Riq'ah ini lebih mudah dan dapat ditulis dengan cepat. Khat Riq'ah ini sering digunakan un tuk tujuan surat menyurat dan digunakan oleh pelajar universiti untuk mengambil nota kuliah.


    6. Khat Diwani


    khat diwani




    Diwani membawa erti catatan atau analogi karangan. Khat Diwani digunakan secara meluas semasa pemerintahan Sultan Khedewy sekitar tahun 1220H di Mesir. Khat ini turut berfungsi sebagai perhiasan selain untuk urusan rasmi seperti surat perjanjian, surat penghargaan dan sebagainya.


    7. Khat Diwani Jali


    khat diwani jali



    Khat Diwani Jali mempunyai sedikit perbezaan berbanding khat Diwani. Khat Diwani Jali lebih banyak bentuk, rumit penulisannya, lebih cantik dan estatik. Khat Diwani Jali selalunya diubah dalam bentuk daun, perahu, ikan , burung dan sebagainya.


    8. Khat Raihani


    khat raihani




    Khat Raihani hampir menyerupai khat Thuluth. Huruf khat Raihani agak besar dan panjang serta ditambah dengan tanda-tanda syakal.

    Read more...

    ‘Jawi khazanah kebangsaan’

     https://www.utusan.com.my/rencana/2020/07/jawi-khazanah-kebangsaan/

    ‘Jawi khazanah kebangsaan’

    LAU Weng San (tiga dari kanan) melihat demonstrasi tulisan khat Jawi semasa Pertandingan Seni Khat Jawi dan Kaligrafi Cina pada 1 Disember 2019.
    Share on facebook
     
    Share on twitter
     
    Share on whatsapp
     
    Share on email
     
    Share on telegram

    DI sebalik tentangan segelintir pihak tertentu yang tidak senang dengan pemartabatan tulisan Jawi, beberapa wakil rakyat DAP menyokong usaha itu melalui pertandingan seni kaligrafi Jawi yang dianjurkan di Kuala Kubu Bharu, Selangor tahun lalu. Pertandingan Seni Khat Jawi dan Kaligrafi Cina Terbuka 2019 bertemakan Bersatu Dalam Kepelbagaian itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 100 orang termasuk dari Johor, Melaka, Kelantan dan Perak. Program yang turut mempertandingkan seni kaligrafi tulisan Cina hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong tersebut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

    Mengulas usaha tersebut, Kee Hiong yakin banyak pihak menghargai budaya kepelbagaian kaum di negara ini. Masyarakat, kata beliau tidak seharusnya bersengketa hanya kerana perbezaan tulisan iaitu orang Melayu hanya buat seni kemelayuan, Cina dengan tulisan Cina manakala India dengan tulisan Tamil sahaja.

    “Saya rasa ramai rakyat Malaysia menghargai budaya yang ada dalam pelbagai kaum. Kita tidak boleh berpecah-belah. Tidak ada penyatuan. Jadi pertandingan ini saya integrasikan sebagai satu langkah permulaan untuk rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia, kelmarin.

    Beliau yang bercadang menganjurkan lagi pertandingan seumpama itu pada masa hadapan percaya tulisan Jawi adalah bahasa Melayu lama yang merupakan khazanah kebangsaan.

    Menurutnya, ia tiada kaitan dengan agama Islam. Al-Quran yang menggunakan bahasa Arab sekali pun telah diterjemahkan dalam banyak bahasa termasuk bahasa Cina.

    “Maka saya tidak melihat belajar tulisan (Jawi) ada kaitan dengan agama Islam.


    “Kaligrafi Cina pula adalah seni yang paling tinggi diberi penghormatan dalam tamadun Cina. Umat Islam di China yang berkali ganda daripada penduduk Malaysia juga tahu kaligrafi Cina, tetapi mereka tetap umat Islam. Maka kaligrafi Cina juga tidak ada kaitan dengan agama,” katanya.

     

    MENDAPAT SOKONGAN

    Pertandingan tersebut turut mendapat sokongan ADUN Banting, Lau Weng San. Beliau hadir dan berucap dalam majlis penutup menggantikan Kee Hiong yang kurang sihat.
    Weng San turut melahirkan hasrat untuk memperkenalkan Kuala Kubu Bharu sebagai Pekan Seni iaitu tempat tarikan pelancongan dengan mengetengahkan kepelbagaian tulisan kaum masing-masing.

    Sementara itu, jurucakap DBP yang dipertanggungjawabkan sebagai hakim dalam pertandingan tersebut berkata, majlis seumpama itu membuktikan semua rakyat tanpa mengira kaum boleh disatukan melalui seni tulisan. Jurucakap DBP itu menambah, pertandingan tersebut merupakan inisiatif Kee Hiong yang kebetulan datang melawat DBP. Pada masa itu, beliau mahu mengadakan pertandingan kaligrafi Cina sahaja sebab senang untuk diuruskan namun mendapat idea untuk membuat tulisan Jawi juga.

    Bagaimanapun, pertandingan kaligrafi Tamil pada masa itu tidak dapat diadakan bersama memandangkan pihak penganjur tidak bertemu ramai pakar dalam seni tulisan berkenaan. Namun dalam acara berkenaan, demonstrasi seni tulisan Tamil dipertontonkan oleh pakar kaligrafi Tamil, Dr. Velu Perumal yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Sememangnya usaha yang ditunjukkan oleh dua wakil rakyat DAP itu harus dipuji kerana menghargai seni tulisan tradisi tanpa dikaitkan dengan amalan mana-mana anutan agama. Ia sekali gus merupakan satu usaha mengekal serta memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.


    Read more...