13.8.21

Potret khat dedikasi buat Allahyarham Siti Sarah

 

  • MyMetro
  • Mutakhir
  • Ekhwan Haque Fazlul Haque
    ekhwan@hmetro.com.my

    Hulu Terengganu: Kehilangan penyanyi Siti Sarah Raisuddin akibat Covid-19 Isnin lalu, ternyata memberi impak kepada rakyat negara ini.

    Tidak terkecuali Muhammad Rosyaimi Amirul Faiz Jailani, 30, yang mendedikasikan kemahiran kaligrafi khat menghasilkan potret pelantun lagu Kesetiaan itu.

    "Saya mendedikasikan kaligrafi potret khat untuk untuk rakyat Malaysia kenang bagaimana perjuangan seorang isteri dan ibu mengharungi hidup berjuang melawan Covid-19.

    "Perjalanan hidup Siti Sarah memang meruntun jiwa dan banyak kebaikan yang dilakukan ketika hayatnya dikongsi masyarakat dan rakan artis," katanya kepada Harian Metro.

    Dia yang berasal dari Kuala Berang berkata, kaligrafi potret khat ini menggabungkan seni kontemporari dan tradisional.

    Katanya, dia menghabiskan masa tiga jam untuk menyiapkan karya itu yang akan dihadiahkan kepada Shuib jika berkesempatan.

    "Saya gunakan kemahiran yang ada untuk menzahirkan rasa kagum terhadap keperibadian Allahyarham Siti Sarah.

    "Ia boleh menjadi contoh bukan saja untuk wanita malah kepada masyarakat agar terus berbuat kebaikan dalam kehidupan," katanya.

    Katanya, dia berkongsi karyanya di laman sosial dan tidak menyangka ia akan tular dan mendapat maklum balas positif daripada netizen.

    Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), di sini, jam 5.13 pagi, Isnin lalu.

    Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas tahap oksigen menurun.

    Penyanyi itu kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan bayi lelaki dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan.

    Siti Sarah bersama suami yang juga pelawak, Shuib disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu.