Seni Kaligrafi Islam ( Seni Khat)
Okay, hari ini saya terpanggil untuk menyampaikan info berkenaan seni yang semakin dilupakan sejak akhir-akhir ini iaitu seni khat. Bila saja sebut khat, pasti terbayang di mata kita suatu tulisan yang cukup indah yang biasanya ditulis di dalam Bahasa Arab. Ia merupakan sebuah warisan kebudayaan Islam yang berasaskan Al-Quran dan Al-Hadis.
Minat terhadap kesenian sememangnya fitrah semulajadi setiap insan. Allah S.W.T dan RasulNya tidak pernah melarang keterlibatan manusia di dalam seni selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Justeru itu seni khat adalah lambang kesenian Islam yang tulen dan perlu dipelihara sepanjang masa untuk mengekalkan keasliannya. Khat yang sempurna dan cantik akan menambahkan seni serta menarik minat orang ramai terhadapnya.
Apa itu khat? Definisi khat sebagimana yang telah dikemukakan oleh Syeikh Shamsuddin Al-Akfani ialah suatu ilmu yang memperkatakan tentang bentuk-bentuk huruf tunggal, tempat letaknya dan cara-cara merangkaikannya menjadi suatu tulisan yang tersusun. Atau apa-apa yang ditulis di atas garis-garis, bagaimana cara menulisnya dan menentukan mana yang tidak perlu ditulis, mengubah ejaan yang perlu digubah dan menentukan cara bagaimana untuk mengubahnya.
Khat merupakan perkataan Arab yang bermaksud garisan. Oleh itu ia juga boleh dimaksudkan sebagai garisan indah yang membentuk tulisan. Khat juga bermaksud tulisan-tulisan yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni. Tulisan-tulisan Arab ini pula mempunyai nilai dan dan kaedah tertentu yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. seorang ahli seni terkenal di Peranchis bernama Picasso pernah mengatakan, " Selepas aku melihat seni yang terdapat pada khat Arab, aku mengakui bahawa dunia seni lukis masih terkebelakang dengan kesenian itu. " Seni khat bukan sekadar bertindak sebagai wacana untuk menyampaikan sesuatu maklumat tetapi ianya juga mengandungi nilai abstrak yang dapat disimpulkan dengan kehalusan, kelembutan, kesinambungan dan perhubungan , pergerakan dan sebagainya.
Dengan kata lain, khat atau ' calligrapy ' adalah bermaksud tulisan yang dikenali dengan tulisan jawi. Tulisan yang ditulis dari kanan ke kiri dengan menggunakan alat tulis seperti pensil, buluh dan sebagainya. Tulisan ini mengandungi tanda-tanda harakah di atas dan di bawahnya. Gerak baris dan susunan-susunan bahagian yang tegak, berbaring serta melengkung melahirkan irama seni tampak, Bentuk-bentuk ini pula diwarnai dengan menarik tanpa merosakkan bentuk huruf yang ada.
Gambar di atas menunjukkan pen yang digunakan untuk menulis khat dengan saiz yang berbeza-beza
Ini pula adalah pen khat dari buluh, juga mempunyai berbagai saiz mata penanya
Sekarang kita lihat jenis-jenis khat yang popular:
KHAT NASAKH
Ada pendapat yang mengatakan orang yang memulakan kaedah dan membentuknya dari khat Jali dan khat Tumar seterusnya dinamakan dengan khat Badi' yang akhirnya digelar khat Nasakh ialah Wazir bin Muqlah. Khat ini juga dikenali dengan nama khat Al-Quran kerana ia digunakan untuk menulis Al-Quran sejak kurun ke 10M lagi.
KHAT RIQ'AH
Khat Riq'ah adalah tulisan dengan huruf-huruf yang pendek dan dipercayai berasal dari tulisan Nasakh dan Thuluth. Khat ini merupakan sejenis khat yang paling mudah dipelajari dan digunakan secara meluas di negara Islam. Di namakan Riq'ah kerana huruf-hurufnya tunduk kepada rupa sifat geometri secara mudah. Bentuknya lurus melengkung dan bulat sesuai dengan pergerakan tangan meskipun dalam keadaan pergerakan secara pantas.
KHAT KUFI
Jenis tulisan Arab yang tertua sekali yang dipercayai dicipta di bandar Kufah, Iraq. Antara ciri-ciri yang nyata pada bentuk khat Kufi ialah sudut-sudutnya tegak berdiri secara pendek berdasarkan bentuk bulat, berbentuk segi, berbentuk panjang yang dibaringkan dan bersifat terang mengikut format datar pada penulisan Al-Quran. Selain digunakan untuk tulisan Al-Quran, khat ini juga digunakan untuk hiasan senibina dan ukiran-ukiran seperti pada masjid-masjid Umar di Baitulmaqdis dan Masjid Jamek di Cordova.
KHAT THULUTH
Tulisan khat Thuluth lebih bersifat monumental, dipakai terutamanya untuk tujuan-tujuan dekorasi pelbagai manuskrip dan inskripsi sebagaimana banyak dipakai untuk menghiasi tembok-tembok gedung. Orang yang memulakan khat ini ialah Wazir Ibn Muqlah.
KHAT DIWANI
Khat ini dinamakan sedemikian kerana ianya digunakan di Dewan Uthmani Al-Humayani. Semua perintah diraja, pengumuman dan penyiaran ditulis dalam bentuk khat ini. Antara ciri-ciri yang ada padanya ialah huruf-hurufnya berpanca antara satu sama lain, mempunyai lebihan di atas dan berkeadaan terhulur dari atas. Bentuk khat Diwani agak sukar ditulis dan dibaca.
KHAT FARISI
Khat Farisi juga dikenali sebagai khat Ta'liq. Khat ini telah lahir pada abad ke 13M. Ia berkembang di Iran dan mencapai tingkat seni yang tertinggi. Dinamakan khat Ta'liq kerana huruf-hurufnya bergantung di antara khat Nasakh dan khat Thuluth dan ciri-ciri keduanya terhimpun di dalam khat Ta'liq atau Farisi ini.
Begitulah serba sedikit info yang dapat saya kongsikan bersama tentang topik entry saya pada hari ini. Namun begitu, hari ini ramai dari kalangan orang melayu khususnya, tidak tahu bagaimana hendak membaca tulisan jawi apatah lagi membacanya. Di manakah silapnya, silalah beri komen ....adakah anda tergolong di dalam lingkungan mereka yang dimaksudkan???
Akhirnya, marilah kita sama-sama memartabat dan membudayakan tulisan jawi dengan mencantikkannya melalui penulisan seni khat yang pelbagai jenis, bentuk dan corak. Biarlah tulisan jawi dan khat terus sinonim dengan orang Melayu kerana ia adalah salah satu cabang kesenian Islam yang boleh kita banggakan.