29.8.21

Karya pelukis seni khat mempesona kanak-kanak, ibu bapa

Karya pelukis seni khat mempesona kanak-kanak, ibu bapa

Alyaa Alhadjri

Diterbitkan 
Dikemaskini 12 Jan 2020, 6:46 pm

Meskipun pernah menjuarai pertandingan di peringkat antarabangsa, pelukis seni khat Ahmad Abdul Hadi,25 tetap merendah diri dengan beranggapan kemahirannya masih rendah berbanding pakar-pakar dalam bidang itu.

Pagi tadi, Ahmad meluangkan masa kira-kira satu jam bagi membimbing sekumpulan peserta bengkel penulisan khat dan pertandingan yang dianjurkan oleh Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Majlis berlangsung di perpustakaan komuniti di Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak yang hadir, ada seusia enam tahan cukup teruja ingin tahu apabila Ahmad mempamerkan alat keseniannya, berupa pena dibuat daripada kayu, logam dan gading, dakwat khas dengan benang sutera untuk mengawal alirannya, dan pemidang kulit arnab yang digunakan sebagai alas pergelangan tangan.

Sementara itu, ibu bapa yang hadir bengkel seni khat itu bertanya Ahmad mengenai asal-usul sejarah kesenian tersebut dan pelbagai tekniknya.

Sementara para peserta bengkel hari ini mempelajari asas-asas seni khat di atas kertas putih biasa, Ahmad berkata banyak karyanya dihasilkan pada kertas khas yang diimport dari Turki - disalut dengan putih telur untuk menghalang dakwat daripada tersebar, bersama dengan tawas yang meneutralkan bau telur.

Sebagai hasilnya, Ahmad berkata reka bentuk akhir dapat dipelihara selama beratus-ratus tahun, sejak dari zaman Empayar Uthmaniyah.

Dari ratusan gaya penulisan yang dikembangkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW, Ahmad menjelaskan terdapat tujuh gaya khat yang digunakan secara rasmi di Malaysia.

"Gaya paling dikenali ialah Khat Nasakh, digunakan di dalam Al-Quran di sini, pada buku sekolah dan akhbar.

"Huruf yang lebih besar yang digunakan misalnya dalam reka bentuk masjid dikenali sebagai Khat Thuluth," jelas Ahmad.

Katanya, antara pengalaman peribadinya adalah mengerjakan dua juzuk AL-Quran untuk seorang penerbit tempatan yang mengkhususkan teks bertulisan tangan.

"Saya mengambil masa dua bulan untuk menguasai kemahiran membuat 'titik empat segi' yang digunakan sebagai panduan saiz dan skala bagi setiap huruf," katanya sambil menjelaskan bahawa matlamat akhir bagi mana-mana reka bentuk berasaskan khat adalah untuk mencapai keseimbangan sempurna antara kesemua elemen.

Ketika ditemui kemudian, Ahmad memberitahu Malaysiakini dia percaya media sosial adalah platform penting untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas dalam program seperti sesi yang dianjurkan hari ini.

"Andai kata ada program macam ini, orang ramai perlu hebahkan supaya mereka (pengkritik) sedar bahawa khat itu bukan Islamisasi.

"Semua orang boleh belajar. Khat hanya mempercantikkan tulisan Jawi. Tak semestinya khat hanya untuk ayat Al-Quran. Kita ada Jawi yang merupakan tulisan orang Melayu," katanya.

Ahmad berkata Persatuan Khat Kebangsaan, yang dianggotainya, masih terbuka untuk terlibat dengan kementerian pendidikan dalam usaha mempromosikan kaligrafi sebagai warisan Melayu dan identiti kebangsaan.

Ketika dihubungi kemudian, Fahmi berkata program pada sebelah petang pula menyaksikan penyertaan daripada kumpulan berbilang kaum termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan penduduk lain di kawasan itu.

"Kami mahu menafikan idea bahawa Jawi sinonim dengan kumpulan etnik tertentu," kata Fahmi yang menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan berkaitan Jawi yang diadakan hari ini.

Pengkritik langkah kerajaan untuk memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular sebelum ini mencadangkan supaya ia menjadi sebahagian sukatan pelajaran seni dan bukan pembelajaran bahasa Melayu.

Baru-baru ini, Kumpulan Bertindak Seni Khat NGO (Sekat) membentangkan tujuh resolusi yang merangkumi gesaan supaya Jawi dijadikan subjek pilihan dan tidak dimasukkan ke dalam sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular tahun ini.

Ahmad berkata Persatuan Khat Kebangsaan, yang dianggotainya, masih terbuka untuk terlibat dengan kementerian pendidikan dalam usaha mempromosikan kaligrafi sebagai warisan Melayu dan identiti kebangsaan.

Ketika dihubungi kemudian, Fahmi berkata program pada sebelah petang pula menyaksikan penyertaan daripada kumpulan berbilang kaum termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan penduduk lain di kawasan itu.

"Kami mahu menafikan idea bahawa Jawi sinonim dengan kumpulan etnik tertentu," kata Fahmi yang menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan berkaitan Jawi yang diadakan hari ini.

[Baca berita asal]