27.8.21

Martabatkan seni kaligrafi islam

 

Martabatkan seni kaligrafi islam

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini telah merasmikan Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Yayasan 2020-2025.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan, telah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan, Rumah Semaun, Jalan Jerambak, Bandar Seri Begawan. Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Majlis kemudiannya diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan yang antara lain berkata, salah satu inisiatif yang dilaksanakan pada dekad ketiga penubuhan Yayasan ialah dengan penubuhan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan.

Jelasnya, pusat berkenaan merupakan sebuah institusi pengajian kesenian dan kaligrafi Islam yang antara lain bermatlamat untuk menjadi sebuah institusi yang boleh memberikan kemudahan perkhidmatan dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam di samping usaha dalam memartabatkan tulisan jawi khususnya kaligrafi Islam.

Pusat berkenaan dihasratkan dapat melahirkan tenaga pakar daripada kalangan rakyat Negara Brunei Darussalam yang dapat menguasai dan mengembangkan ilmu seni Islam di negara ini iaitu selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung menyempurnakan pelancaran Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat bagi menyaksikan salah petak perniagaan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai bersama ahli jemaah tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat bagi menyaksikan Kedai Cenderahati Semaun.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyaksikan ‘live demo’ di Dewan Al-Ma’rifah.

Pusat pengajian tersebut telah mula beroperasi pada 22 Julai 2013 di mana langkah awal dalam pelaksanaan penubuhannya ialah melengkapi pusat pengajian dengan tenaga manusia yang berkemahiran dalam bidang seni Islam.

Sehubungan itu, Yayasan telah membiayai seramai 11 orang pelajar bagi mengikuti kursus atau program Diploma Seni Mushaf selama lebih kurang dua tahun setengah sepenuh masa di Kolej Restu Shah Alam, Selangor Malaysia dan tujuh orang daripadanya telah diambil untuk berkhidmat di pusat pengajian tersebut.

“Alhamdulillah, pusat pengajian ini telah berjaya melaksanakan beberapa buah program pengajian setakat yang terdaya pada masa ini iaitu dengan mengadakan kursus jangka pendek dalam penulisan khat peringkat asas dan lanjutan dan juga reka bentuk seni Islam yang dibukakan kepada orang ramai sejak tahun 2017,” jelasnya.

Majlis diteruskan dengan tayangan video mengenai Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan dan Buku Pelan Strategik Yayasan 2020-2025.

Pelan strategik berkenaan diasaskan kepada dasar penubuhan Yayasan seperti yang termaktub dalam Akta Penubuhan Yayasan Penggal 166. DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya berkenan melancarkan Buku Pelan Strategik Yayasan 2020-2025.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung berangkat ke bangunan Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan bagi menyempurnakan perasmian Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan dan menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang galeri berkenaan iaitu Galeri Lauhah Al-Islamiah, Galeri Al-Aswad dan Galeri At-Tasmeem.

Galeri berkenaan menampilkan sebanyak 54 karya tempatan, sebanyak 17 karya dari Turki, satu karya dari Malaysia dan akan datang dari Indonesia dan China.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya dijunjung menyaksikan beberapa aktiviti dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan seperti Dewan Al-Ma’rifah, Bilik Kuliah, Kedai Cenderahati Semaun, Kafe Semaun, bilik Muzakarah dan Musolla.

Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima dua buah pesambah iaitu Zukhruf (hiasan) Al-Quran yang dilakar dalam reka bentuk bunga kemboja yang mempunyai enam kelopak sebagai melambangkan Rukun Iman. Karya tersebut dihasilkan oleh Awang Muhammad Asyraaf bin Haji Rambli, salah seorang tenaga kerja di pusat pengajian tersebut.

Pesambah kedua ialah gambar potret DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang dihasilkan menggunakan Seni Pertalian. Karya yang menggunakan benang khusus ini sangat unik dan memerlukan kreativiti yang sangat teliti bagi menghasilkan bentuk dan imej yang sempurna.

Selain ruang Galeri, beberapa kemudahan juga disediakan di pusat pengajian itu seperti bilik kuliah, dewan serba guna, kedai cenderahati, kafe, bilik muzakarah dan dewan sembahyang (musolla). Sebelum berangkat balik, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli jemaah tadbir dan ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan.