27.8.21

Seni Khat Part 2






 SENI KHAT Part 2

Jenis-jenis tulisan khat adalah berupa tulisan mushaf-mushaf al-Quran, sama ada tertulis di atas papirus, kulit-kulit binatang, kertas, naskah, inskripsi, buku, surat, mahupun manuskrip dan sebagainya.
Ibnu al-Nadim menghuraikan lagi bahawa corak lain dari khat Kufi dan Nasakh terdapat lagi bentuk lain berupa tulisan “setengah” (nisf), disebut juga corak Thuluthain (dua-pertiga) atau “sepertiga” (Thuluth). Selain itu, semenjak Ibnu Muqlah telah mengklasifikasi enam jenis tulisan seni khat yang berkembang dalam Islam selanjutnya dikenali dengan al-Aqlām al-Sittah الأقلام الستة (enam skrip yang asal) iaitu Thuluth, Nasakh, Muhaqqaq, Rayhān, Riq’ah dan Tawqi’ kemudian berevolusi menjadi Thuluth (خط الثلث), Nasakh ( خط النسخ), Diwani (خط الديواني), Kufi (خط الكوفي), Farisi (خط الفارسي) dan Riq‘ah (خط الرقعة).
Seterusnya tulisan tersebut dikembangkan oleh umat Islam menjadi tulisan seni khat/Jawi di Alam Melayu.
Khat Kufi, iaitu jenis khat tertua. Seni tulisan ini banyak memiliki sudut dan siku-siku serta bersegi, mengandungi garis-garis vertikal pendek dan garis mendatar yang memanjang. Khat kufi sering disebut juga dengan istilah Jazm, jenis khat ini sudah banyak menghiasi bangunan-bangunan utama di Alam Melayu kerana agak sukar untuk dilakarkan, juga agak susah dibaca oleh umat Islam di walaupun ramai juga peminatnya.
Khat Nasakh, iaitu jenis tulisan tangan berbentuk cursif, yakni tulisan bergerak berpusing (rounded) dan sifatnya mudah serta jelas untuk ditulis dan dibaca. Menurut Didin Sirojuddin, “Kata Nasakh diambil dari akar kata Nuskhah atau Naskhah.” Jenis khat ini sangat mendominasi penggunaan tulisan kaligrafi yang ada di Alam Melayu kerana digunakan dalam pelbagai tulisan mushaf al-Quran dan bahkan digunakan juga dalam penulisan pelbagai buku teks pelajaran umum, agama Islam, dan sebagainya.
Khat Thuluth, iaitu tulisan yang banyak digunakan untuk hiasan di pelbagai manuskrip, khususnya dalam tajuk-tajuk buku atau sub-subbab dan nama-nama kitab ataupun kitab. Jenis ini juga digunakan sebagai tulisan hiasan pada dinding-dinding binaan dan hiasan dalaman. Selain itu, jenis khat ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Islam di Alam Melayu kerana selalu dijadikan sebagai hiasan tulisan dalam bangunan-bangunan utama seperti masjid, istana, pejabat, sekolah, dan lain-lain.
Khat Farisi, iaitu jenis khat Ta`liq atau Farisi yang banyak berkembang di negara Parsi (Iran), Pakistan, India, dan Turki. Perkembangan khat ini bermula dari Parsi pada masa pemerintahan Dinasti Safavi (1500-1800 M).
Menurut sejarahnya, khat Ta`liq berasal daripada tulisan Kufi yang dibawa oleh penguasa-penguasa Arab zaman penaklukan Parsi. Jenis khat ini tidak terlalu banyak digunakan sebagai hiasan dalaman di Nusantara kecuali untuk tulisan-tulisan tertentu seperti tajuk-tajuk buku yang tersimpan rapi di perpustakaan dan sekolah.
Khat Riq`ah, iaitu yang disebut juga khat Riq`ie atau Riqa`. Khat ini merupakan jenis tulisan cepat dan hampir sama dengan cara penulisan stenografi. Penggunaan jenis tulisan khat ini di Alam Melayu tidak terlalu meluas dalam kalangan masyarakat umum kecuali di kalangan mahasiswa dan pelajar pondok yang menggunakannya sebagai catatan-catatan penting nota kuliah ataupun pelajaran mereka.
Khat Diwani, iaitu khat berbentuk melingkar-lingkar, condong bersusun-susun, hurufnya tumpang tindih, lentur dan bebas. Khat Diwani merupakan suatu corak tulisan Uthmani yang sejajar perkembangannya dengan tulisan Syikasteh Farisi. Jenis khat ini masih banyak ditemui di Alam Melayu sebagai hiasan-hiasan tambahan, tetapi tidak sebanyak penggunaan jenis khat Nasakh ataupun Thuluth.
Kesemua khat di atas, para pakar khat berpendapat bahawa “induk” daripada seni khat/Jawi adalah khat Thuluth dan Nasakh. Sementara orang-orang Parsi terutama kalangan seniman, mengembangkan sebuah corak lain disebut Ta’līq (menggantung) yang sebenarnya merupakan perkembangan lanjut daripada corak Riq’ah dan Tawqī’ setelah diubahsuai lalu dibuat secara teliti dan sungguh-sungguh. Induk tulisan ini berkembang menjadi pelbagai macam jenis aliran dan corak.
Walaupun khat-khat tersebut memiliki perbezaan dan teknik penulisan berbeza-beza, tetapi masih ada hubungkait antara satu dengan lainnya. Contoh khat kufi banyak berpengaruh kepada jenis-jenis khat lainnya seperti Riq’ah dan Diwani bahkan menjadi penyempurna corak ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info menarik mengenai warisan di seluruh nusantara, sila follow dan subscribe Tetuang TV di: