27.8.21

Penulisan jawi, seni kaligrafi Islam diperkasa





 https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20160511/281530815236969

Penulisan jawi, seni kaligrafi Islam diperkasa

Berikutan penulisannya yang semakin pupus dalam kalangan generasi muda

KOTA KINABALU: Seminar Khat Islami Nusantara akan diperluaskan ke daerah lain sebagai usaha mengangkat martabat seni kaligrafi Islam dan memperkasakan penulisan jawi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata memandangkan kemahiran penulisan jawi semakin pupus maka, usaha menganjurkan seni khat Islam itu diperkenalkan.

Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan anak-anak muda hari ini dapat menguasai penulisan jawi dengan baik mengikut kaedah yang betul.

“Tulisan jawi milik semua orang. Malah, orang bukan Islam juga pandai menulis jawi. Kita ada tokoh yang mahir dalam penulisan jawi yang berasal dari Korea. Beliau (Pensyarah Universiti Busan, Prof Kang Kyoung Seok) mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam penulisan jawi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Khat Islami Nusantara Membakut, di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, di sini kelmarin.

Seminar berkenaan dianjurkan sempena Mahrajan Persuratan Kesenian Islam Nusantara kelima, Membakut.

Arifin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam negeri berkata walaupun ada antara generasi muda meminati seni khat namun, pendekatan perlu diambil bagi mendekatkan mereka dengan seni kaligrafi Islam mengikut kaedah sebenar.

Atas sebab itu, tokoh seni khat Nusantara seperti dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia dijemput bagi memberi tunjuk ajar penulisan seni khat yang betul.

Beliau berkata ia seiring dengan usaha memartabatkan seni kaligrafi Islam, Galeri Seni Khat Sabah akan diwujud dan ditempatkan dalam Perpustakaan Islam Negeri Sabah. Perpustakaan itu akan dibina dalam kawasan perkarangan Masjid Negeri Sabah tidak lama lagi.

“Pembinaan perpustakaan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM5 juta dan majlis pecah tanah akan diadakan dalam masa terdekat. Pembinaannya pula dijangka akan dimulakan pada awal tahun depan.

“Galeri ini nanti akan bertindak sebagai pusat kegiatan seni khat. Dalam masa yang sama, di bazar masjid negeri juga akan disediakan ruang untuk penggiat seni khat mempamerkan dan menjual karya seni khat mereka,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) cawangan Sabah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JabatanHalEhwalAgamaIslam Negeri Sabah (Jheains) Mohd Sidek Ag Adi berkata bertema ‘ Memaknakan Seni Khat Warisan Islam’, seminar itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan seni khat dalam kehidupan.

Seminar berkenaan juga bertujuan memberi makna sebenar seni khat dalam menelusuri sejarah kesenian khat.