13.8.21

Magis kaligrafi, mural Shah Tumin

 Mahaizura Abd Malik

SHAH Tumin bersama karya terbaharunya sempena Hari Kemerdekaan. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin
SHAH Tumin bersama karya terbaharunya sempena Hari Kemerdekaan. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin

DEMI menzahirkan rasa cinta terhadap negara dan menyemarakkan semangat patriotik, Mohd Shah Tumin menghasilkan mural potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan elemen seni kaligrafi.

Uniknya, potret bersaiz 1.8 meter persegi itu dibentuk dengan menulis nama 'Al-Sultan Abdullah' yang mengambil masa 14 jam keseluruhan tempoh untuk disiapkan sekali gus karya berkenaan pertama seumpamanya dihasilkan di Malaysia.

Mohd Shah, 36, berkata, pemilihan melakar wajah pemimpin negara berkenaan pada tembok rumahnya di Shah Alam, Selangor kerana mengambil kira situasi semasa.

"Biasa saya tengok Tunku Abdul Rahman begitu sinonim dengan Hari Kemerdekaan, jadi saya hendak ubah cari kelainan mengambil kira Al-Sultan Abdullah sebagai ketua negara pada masa ini.

"Saya berpandangan tidak salah menjadikan baginda sebagai ikon untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan kali ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lakaran luar biasa berkenaan mula dihasilkannya seorang diri pada penghujung Julai lalu.

"Idea untuk melakar mural potret dalam bentuk kaligrafi tercetus sejak dua bulan lalu selepas saya membuat sedikit penyelidikan tiada lagi lakaran mural menggunakan tulisan jawi pada dinding dihasilkan di Malaysia berbanding kebanyakannya cuma pada kertas.

"Saya memperuntukkan masa antara 40 minit hingga sejam sehari dalam tempoh dua minggu untuk menyiapkan mural ini kerana cabarannya menulis tulisan halus pada tembok dinding yang mengerutu selain cuaca panas.

"Namun, semua faktor ini tidak mematahkan semangat saya sebaliknya memberi perangsang supaya saya siapkan karya ini walaupun secara sedikit demi sedikit," katanya yang berkongsi pembikinan lakaran berkenaan di saluran YouTube miliknya.

Lakaran dihasilkan Shah Tumin. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin
Lakaran dihasilkan Shah Tumin. FOTO Ihsan Mohd Shah Tumin

Katanya, dia menggunakan medium cat dan berus bersaiz kecil yang diubah suai sendiri mengikut kesesuaian keadaan permukaan dinding.

"Kalau menulis di atas permukaan dinding licin lebih laju pergerakkannya biasanya saya cuma gunakan pen marker, tetapi disebabkan dinding tembok rumah saya menggerutu, saya menggunakan cat yang menuntut kesabaran tinggi.

"Untuk memudahkan saya menulis tulisan jawi itu, saya gunakan tiga saiz berus kecil yang diubah suai antara lima milimeter hingga satu sentimeter," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 21, 2020 @ 10:00pm