2.8.21

Kaligrafi Seni Khat Tonjol Keunikan Tulisan Jawi

 

 

Laporan/foto: Edawati Sulaiman (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Kaligrafi Seni Khat merupakan seni yang telah digunakan sejak beratus-ratus tahun dahulu, sejak zaman Empayar Uthmaniyah lagi malah penggunaannya bukan sekadar dalam penulisan al-Quran namun lebih meluas.

Menurut Ahmad Abdul Hadi, 25, keunikan kaligrafi Seni Khat dan Jawi ini perlu dipelajari dan diselami oleh semua lapisan masyarakat khususnya orang Melayu agar ia tidak dilupakan oleh generasi masa kini mengikut peredaran masa dan perkembangan teknologi.

“Tulisan Jawi merupakan tulisan orang Melayu dan seni khat digunakan untuk mencantikkan tulisan tersebut dengan penuh kesenian tersendiri mengikut pelbagai teknik menarik,” katanya.

Fahmi mempamerkan bakat dalam tulisan kaligrafi khat.Fahmi mempamerkan bakat dalam tulisan kaligrafi khat.



Beliau yang merupakan pemenang pertandingan khat peringkat antarabangsa ini telah dijemput sebagai pembimbing peserta Bengkel Kaligrafi Seni Khat dan Jawi anjuran Persatuan Kebajikan Harapan Utama Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon Lembah Pantai, Perpustakaan Negara Malaysia dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai yang diadakan di Perpustakaan Awam Komuniti Bukit Kerinchi, di sini semalam.

Beliau turut berkongsi pengalaman, di mana beliau mengambil masa dua bulan untuk menguasai kemahiran kaligrafi seni khat itu.

“Terdapat tujuh gaya khat yang digunakan secara rasmi di Malaysia. Gaya yang paling kerap digunakan adalah Khat Nasakh di dalam naskah Al-Quran, buku sekolah dan akhbar manakala Khat Thuluth banyak digunakan di dalam reka bentuk masjid,” kata Ahmad lagi semasa sesi penerangan ringkas.

ffa2e932-84fb-44f0-b9c0-1ba932d46d8eAhmad menunjukkan hasil kaligrafi khat yang dihasilkan.



Ahmad juga turut mempamerkan alat keseniannya, berupa pena yang diperbuat daripada kayu, logam dan gading, dakwat khas dengan benang sutera untuk mengawal aliran dakwat, dan pemidang kulit arnab yang digunakan sebagai alas pergelangan tangan.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil,  program ini sebenarnya telah dirancang sejak November 2019 tetapi tertunda akibat kesuntukan dana dan masa.

“Dengan adanya bengkel ini diharap akan dapat memupuk minat serta menanam kesedaran dalam kalangan warga Lembah Pantai tentang keindahan seni khat dan tulisan Jawi, yang merupakan warisan dan khazanah Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita,” ucap beliau ketika majlis perasmian penutup Bengkel Khaligrafi Seni Khat dan Tulisan Jawi.

Turut hadir Timbalan Pengarah Perpaduan Kanan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Zulkhairi Zainal, Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Malaysia Sharin Low Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Datuk Yusri Ahmad.

- AO