27.8.21

Kenali seni kaligrafi Islam

 





Kenali seni kaligrafi Islam



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Disember. - Dilancarkan pada 5 Mac 2020, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) merupakan sebuah institusi pengajian yang menawarkan program pengajian dan memberikan perkhidmatan dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam ke arah memartabatkan tulisan jawi khususnya seni kaligrafi Islam.


Antara lain tujuan penubuhan PPKKI-YSHHB ialah untuk meningkatkan kesedaran belia di Negara Brunei Darussalam (NBD) terhadap penguasaan seni Islam dalam pelbagai aspek di samping berusaha untuk menyiapkan generasi yang mampu menguasai dan menghayati nilai-nilai seni Islam khususnya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam.


Sepanjang bulan November 2020, PPKKI-YSHHB menerima lawatan daripada pelajar-pelajar sekolah seperti Sekolah Rendah Birau, Sekolah Rendah Berakas Garrison, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Sekolah Ugama Pengkalan Batu, Sekolah Persediaan Arab Temburong, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ma'had Islam Brunei dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah. 


Semasa lawatan ini, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri PPKKI-YSHHB iaitu Galeri Lauhah Al-Islamiah, Galeri Al-Aswad dan Galeri At-Tasmeem.


Pada bulan Disember ini, PPKKI-YSHHB akan mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan kesenian Islam yang lebih menjurus kepada penulisan khat seperti pengenalan jenis-jenis khat, mewarna di atas kanvas dan lain-lain.


Sehubungan itu, PPKKI-YSHHB mempelawa orang ramai khususnya belia-belia sempena cuti sekolah ini untuk berkunjung ke PPKKI-YSHHB.


Waktu lawatan ke galeri PPKKI-YSHHB ialah pada setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.


Manakala pada Jumaat, waktu lawatan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 5.00 petang kecuali hari-hari kelepasan awam.