Blog Pandai Khat Mudah Jawi bermula 2011 info seni khat Malaysia - Mural Islamik 3D, Bengkel, Kelas, Kursus Intensif, Logo, Alatulis, frame, kanvas, pameran, galeri, papan tanda jawi rumi, sandblasting tile Seri Medan, Batu Pahat, Johor. Hubungi Whatsapp admin 013-7027770 untuk sebarang pertanyaan.
SEMASA lawatan, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB.
SEMASA lawatan, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB dan mencuba sendiri penulisan kaligrafi berkenaan.
SEMASA lawatan, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB.
SEMASA lawatan, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB dan mencuba sendiri penulisan kaligrafi berkenaan.
SEMASA lawatan, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam YSHHB.
Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Disember. - Dilancarkan pada 5 Mac 2020, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) merupakan sebuah institusi pengajian yang menawarkan program pengajian dan memberikan perkhidmatan dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam ke arah memartabatkan tulisan jawi khususnya seni kaligrafi Islam.
Antara lain tujuan penubuhan PPKKI-YSHHB ialah untuk meningkatkan kesedaran belia di Negara Brunei Darussalam (NBD) terhadap penguasaan seni Islam dalam pelbagai aspek di samping berusaha untuk menyiapkan generasi yang mampu menguasai dan menghayati nilai-nilai seni Islam khususnya seni mushaf, kaligrafi dan seni hiasan Islam.
Sepanjang bulan November 2020, PPKKI-YSHHB menerima lawatan daripada pelajar-pelajar sekolah seperti Sekolah Rendah Birau, Sekolah Rendah Berakas Garrison, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Sekolah Ugama Pengkalan Batu, Sekolah Persediaan Arab Temburong, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Ma'had Islam Brunei dan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
Semasa lawatan ini, para pelajar berpeluang untuk menyaksikan karya-karya seni kaligrafi di ruang Galeri PPKKI-YSHHB iaitu Galeri Lauhah Al-Islamiah, Galeri Al-Aswad dan Galeri At-Tasmeem.
Pada bulan Disember ini, PPKKI-YSHHB akan mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan kesenian Islam yang lebih menjurus kepada penulisan khat seperti pengenalan jenis-jenis khat, mewarna di atas kanvas dan lain-lain.
Sehubungan itu, PPKKI-YSHHB mempelawa orang ramai khususnya belia-belia sempena cuti sekolah ini untuk berkunjung ke PPKKI-YSHHB.
Waktu lawatan ke galeri PPKKI-YSHHB ialah pada setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Manakala pada Jumaat, waktu lawatan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 2.30 petang hingga 5.00 petang kecuali hari-hari kelepasan awam.
Pada hari ini khat yang diguna untuk menulis al-Quran ialah khat nasakh. Setiap huruf ditulis dengan bentuk yang jelas dan mudah dibaca. Amat menarik juga jika disorot sejarah khat pada zaman permulaan Islam. Beberapa rujukan menceritakan bagaimana bermulanya tulisan arab dan bentuk ia dibawa ke dunia arab.
Imam al-Dani menyebut dengan sanadnya sampai kepada Ziyad Ibn An’am berkata: aku bertanya kepada Abdullah Ibn Abbas ra: Adakah bangsa Quraisy menulis semasa zaman jahiliah dengan tulisan arab di mana ejaannya dengan alif, lam, mim disambung huruf yang boleh disambung dan menceraikan huruf yang dicerai sebagaimana ejaan ketika ini sebelum daripada Rasulullah SAW diutus menjadi rasul?
Ibn Abbas menjawab: ya. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar kamu ilmu tulisan ini? Ibn Abbas r.a menjawab: Harb Ibn Umayyah. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar Harb Ibn Umayyah? Ibn Abbas r.a menjawab: Abdullah Ibn Jad’an. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar Abdullah? Ibn Abbas ra menjawab: Penduduk Anbar. Ziyad bertanya: Siapakah yang mengajar penduduk Anbar? Ibn Abbas ra menjawab: seorang lelaki yang datang kepada mereka daripada Yaman dari daerah Kindah. Ziyad bertanya; Siapakah yang mengajar lelaki tersebut? Ibn Abbas ra menjawab: Khaljan Ibn Muham iaitu penulis kepada Nabi Hud a.s.
BANGSA ARAB
Al-Kalbi meriwayatkan daripada Awanah bahawa orang pertama menulis khat ialah al-Jazm Maramir Ibn Murrah, Aslam Ibn Sidrah dan Amir Ibn Judrah. Mereka berbangsa arab iaitu kabilah Tai di mana mereka belajar menulis dari penulis wahyu Nabi Hud.
Selepas itu mereka mengajar penduduk Anbar. Daripada situ berkembangnya ilmu penulisan di Iraq. Bisyr Ibn Abdul Malik iaitu saudara kepada Ukaidar Ibn Abdul Malik adalah pemerintah Daumat al-Jandal mempelajari ilmu tulisan ini dan beliau mempunyai hubungan rapat dengan Harb Ibn Umaiyyah kerana urusan perniagaan di Iraq.
Justeru Harb mempelajari ilmu penulisan daripada Bisyr. Harb ini pula mengajar kaum Quraisy. Harb dan Bisyr kemudian pergi ke Mekah. Bisyr berkahwin dengan Sohba Harb iaitu adik perempuan Abu Sufian r.a.
Semasa di Mekah ramai yang mempelajari ilmu tulisan ini daripada Bisyr. Di sini dapat difahami bahawa guru yang mengajar khat di Mekah ialah Harb Ibn Umaiyyah dan Bisyr Ibn Abdul Malik. Ulama menyatakan jenis khat yang Harb ajarkan kepada kaum Quraisy ialah Khat al-Anbari dan selepas berpindah ke Hijaz ia dinamakan dengan khat hijazi. Khat ini selalu digunakan untuk penulisan surat, syair dan lain-lain.
WAHYU
Apabila Islam datang, mereka menulis wahyu dengan hijazi. Begitu juga dengan suhuf Abu Bakar dan Mushaf Uthman semuanya menggunakan khat hijazi. Hal ini berterusan dalam penulisan mushaf sehinggalah pembukaan banyak kota.
Penulis khat di Kufah amat memberi perhatian kepada khat arab ini dan melakukan banyak penambahbaikan dalam seni khat sehingga khat penduduk Kufah berbeza dengan khat hijazi. Lalu khat mereka dinamakan khat kufi dan ia digunakan juga untuk menulis mushaf.
Ilmu khat berkembang dan diberi penambahbaikan dalam kalangan mereka yang pakar dalam ilmu ini seperti Qutbah al-Muharrir, Dohhak Ibn Ajlan dan Ishaq Ibn Hammad.
Qutbah telah melakukan inovasi terhadap khat kufi dan khat hijazi dengan satu khat lain yang mengabungkan dua khat tersebut. Khat itu dianggap khat asas yang diguna pakai dalam penulisan.
Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiah, ilmu khat berkembang seiring dengan ilmu lain. Zaman keemasan ilmu khat berlaku dengan munculnya Ibn Muqlah, seorang menteri ketika itu. Beliau mempunyai idea yang menarik dan canggih dalam ilmu khat sehingga dapat menyempurnakan lagi apa yang dilakukan oleh pakar khat sebelumnya iaitu Qutbah.
Ibn Muqlah merubah bentuk khat kufi kepada bentuknya yang ada pada masa kini dan juga mencipta banyak bentuk khat yang lain. Selepas Ibn Muqlah muncul pakar khat yang bernama Ibn Bawwab. Beliau banyak melakukan penambahbaikan yang dilakukan oleh Ibn Muqlah dan menyempurnakan lagi kaedah dengan bentuk khat yang lebih baik.
MANUSKRIP AL-QURAN DI UNIVERSITI BIRMINGHAM
Kandungan manuskrip ini ialah surah al-Kahf ayat 23-31, surah Maryam ayat 91-98 dan surah Taha ayat 1-13. Dikatakan manuskrip ini berusia 1370 tahun dahulu iaitu menyamai 1411 Hijrah yang lalu.
Ia dianggap manuskrip al-Quran yang terawal berdasar kepada khat yang digunakan iaitu khat hijazi. Selepas dilakukan pancaran karbon, disahkan ia ditulis antara tahun 568M hingga 645M.
Seorang ahli khat Iraq, Dr. Wali menyifatkan manuskrip ini ditulis dengan khat hijazi yang cantik, boleh dibaca dan dianggap ia dari zaman tiga khalifah terawal. Manuskrip ini disimpan di perpustakaan universiti sejak 50 tahun yang lalu dan tidak diketahui nilainya. Namun selepas pengkaji melakukan analisa didapati ia ditulis pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Isu ini disiarkan secara meluas melalui media pada 2015. Selepas ia viral, seorang ulama al-Quran iaitu Dr. Aiman Suwaid yang banyak menghasilkan kitab berkaitan tajwid, sanad dan pengajaran tajwid dalam media memberi ulasan yang sangat berguna untuk menilai manuskrip tersebut.
Katanya, metodologi barat dan metodologi Islam dalam menilai isu ini berbeza. Barat melihat melalui pancaran karbon bagi mengenali tarikh manuskrip. Tetapi metodologi Islam ialah mesti mengenali siapakah penulis manuskrip dan dari manakah ia ditulis.
Semua penulis wahyu atau penulis al-Quran mempunyai peribadi yang tinggi sifat amanah dan terkenal sifat benarnya seperti Zaid Ibn Thabit r.a yang mana Abu Bakar al-Siddiq r.a berkata kepadanya, kamu adalah seorang pemuda yang amanah dan kami tidak tohmah kamu dengan pendustaan.
Selain itu, perlu juga diketahui dari manakah manuskrip ini ditulis? Maklumat ini amat perlu kerana al-Quran pada peringkat awal lagi iaitu pada zaman Uthman r.a disalin dengan berpandukan suhuf Abu Bakar Siddiq r.a.
MANUSKRIP
Selepas itu, al-Quran disalin berpandukan mushaf terdahulu. Jika manuskrip tersebut sama nasnya dengan al-Quran maka alhamdulillah tetapi jika berlainan dengan mushaf yang ada, maka yang terpakai adalah mushaf yang ada bersama kita.
Berikut adalah surat nabi saw kepada maharaja rom. Sebahagian maksud kandungan surat itu adalah: “Basmalah dan menyeru Maharaja Rom kepada Islam. Terimalah kamu agama Islam kamu akan selamat dan Allah anugerahkan kamu dengan dua anugerah”.
Jika dilihat jenis khat yang ditulis dalam surat di atas dan jenis khat pada manuskrip al-Quran di perpustakaan Universiti Birmingham, ia seakan daripada jenis yang sama.
Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tokoh khat penerima Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul 1438h
Bernama
Disember 11, 2016 21:01 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan Anugerah Perdana kepada Tokoh Penulisan Khat, Mohamed Yusof Abu Bakar (dua,kanan) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W Peringkat Kebangsaan hari ini. - Foto Bernama
Penerima Anugerah Perdana Sambutan Maulidur Rasul 1438H, Mohammed Yusof Abu Bakar, 86, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan kerajaan terhadap penggiat seni khat negara.
Tokoh penulisan khat yang juga Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan itu berkata beliau juga gembira kerana penggiat seni khat di negara ini semakin bertambah dengan pencapaian yang amat baik di peringkat antarabangsa.
"Kalau dibandingkan dengan zaman saya dulu, saya cukup gembira dan kagum dengan penulis khat Malaysia sekarang.
"Saya juga amat bersyukur apabila kerajaan mengambil berat terhadap perkembangan seni khat ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1438H peringkat kebangsaan di Masjid Putra, di sini hari ini.
Beliau yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang penulisan khat pada 1949 ketika belajar di Madrasah Muhammadiah Arabiah, Kelantan serta pernah berkhidmat sebagai guru di Makkah, Arab Saudi dan pensyarah sambilan seni kaligrafi Melayu di Universiti Malaya.
Mohammed Yusof menerima wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul 1438H peringkat kebangsaan kepada sembilan penerima iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Putit Matzen; hakim majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran peringkat antarabangsa, Datuk Salahuddin Omar; pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hashim Mehat.
Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin; pensyarah sastera Universiti Putra Malaysia, Dr Lim Swee Tin; wartawan Berita Harian, Hasliza Hassan; pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly; dan imam masjid di Kedah, Ustaz Mohd Kamal Ismail.
Sementara itu, Abdul Latif berkata anugerah tersebut menjadi pembakar semangatnya untuk terus beraksi cemerlang dalam acara lompat jauh terutamanya menjelang Kejohanan Paralimpik Dunia yang akan disertainya tahun depan.
"Semasa diberitahu saya akan menerima anugerah ini memang saya terkejut dan bersyukur," katanya sambil menambah anugerah itu juga diharap menjadi pembakar semangat untuk golongan kelainan upaya yang lain.
Sambutan kali ini bertemakan "Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah", bertepatan dengan usaha kerajaan menyatupadukan rakyat, bekerjasama serta saling menghormati dan menerima, yang menjadi asas kepada keharmonian sesebuah negara.
Hampir 3,000 peseta daripada 61 kontinjen menyertai sambutan itu yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar institusi pendidikan tinggi dan sekolah.
Bukan Melayu juga ikuti kursus seni khat di universiti
Sinar Harian
Ogos 5, 2019 09:53 MYT
Hasil tulisan khat oleh penuntut yang mengikuti Kurusus Seni Khat di USM yang dikongsikan oleh Muhammad Anis. -Foto Sinar Harian
Minat mendalam dalam seni tulisan sejak di bangku sekolah rendah hingga sekarang dan kejayaan dalam pelbagai pertandingan membawa seorang guru, Muhammad Anis Abdul Ghani, 40, dilantik menjadi tenaga pengajar sambilan bagi Kursus Seni Khat di Universiti Sains Malaysia (USM).
Berkongsi kisah sebagai tenaga pengajar sambilan, anak kelahiran Machang, Kelantan itu berkata, beliau mula bertugas sejak 2012 tidak pernah menyangka ada penuntut bukan Melayu dan Islam berminat dengan seni tulisan tersebut.
Katanya, setiap semester pasti ada penuntut dari bangsa lain seperti Cina dan India mengikuti kursus berkenaan.
"Bukan sahaja pelajar Cina dan India Malaysia tetapi pelajar dari China, India dan negara Arab turut serta. Saya pernah bertanya adakah mereka tersilap memilih kursus tetapi jawapan yang diberikan adalah mereka memang meminati seni tulisan tersebut dan mahu mempelajari sesuatu yang baharu.
"Setahun ada dua semester dan penuntut silih berganti. Apa yang membuatkan saya teruja adalah setiap semester itu akan ada pelajar daripada kaum lain mengikuti kursus yang saya ajar. Untuk semester ini saya ada 50 orang penuntut dan 10 daripada mereka adalah pelajar Cina, seorang India serta Arab," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata, tiada paksaan dalam kaedah pengajaran kerana apa yang ditulis oleh penuntut tiada kaitan dengan ayat al-Quran mahupun hadis.
"Penuntut bukan Islam pastinya tidak mempunyai kefahaman berkaitan huruf-huruf jawi jadi saya akan ajar mereka huruf tunggal, huruf bersambung dan apabila mahir mereka akan menulis ayat lengkap. Ayat yang ditulis pula berkaitan peribahasa dan kata-kata semangat.
"Tidak ada penuntut yang bertanyakan jika mahu belajar seni khat adakah mereka perlu belajar tentang Islam kerana permulaan kursus saya telah jelaskan bahawa ia adalah satu cabang kesenian tulisan. Seni ini adalah untuk semua orang," katanya.
Jelasnya, apa yang menarik tentang penuntut yang mengikuti kursus itu adalah mereka menyatakan mahu mengikutinya lebih lama kerana berpendapat masa yang diperuntukkan terlalu singkat.
"Satu semester kita ada tujuh minggu, seminggu ada dua kelas dan setiap kelas adalah selama 1 jam 30 minit. Maklum balas tersebut saya dapat berdasarkan kepada borang kaji selidik yang diterima pada akhir semester.
"Apa yang ditekankan oleh saya sepanjang kelas adalah jangan rasa terbeban dan sentiasa santai. Saya berikan mereka kebebasan untuk menulis kerana seni itu memerlukan ketenangan," katanya.
Tambahnya, markah yang diberikan kepada pelajar berdasarkan kepada tugasan akhir mereka dan komitmen diberikan cukup baik.
"Pelajar bukan Melayu berjaya menyaingi markah penuntut Melayu. Markah diberikan secara adil berdasarkan hasil kerja mereka," katanya
Jenis-jenis tulisan khat adalah berupa tulisan mushaf-mushaf al-Quran, sama ada tertulis di atas papirus, kulit-kulit binatang, kertas, naskah, inskripsi, buku, surat, mahupun manuskrip dan sebagainya.
Ibnu al-Nadim menghuraikan lagi bahawa corak lain dari khat Kufi dan Nasakh terdapat lagi bentuk lain berupa tulisan “setengah” (nisf), disebut juga corak Thuluthain (dua-pertiga) atau “sepertiga” (Thuluth). Selain itu, semenjak Ibnu Muqlah telah mengklasifikasi enam jenis tulisan seni khat yang berkembang dalam Islam selanjutnya dikenali dengan al-Aqlām al-Sittah الأقلام الستة (enam skrip yang asal) iaitu Thuluth, Nasakh, Muhaqqaq, Rayhān, Riq’ah dan Tawqi’ kemudian berevolusi menjadi Thuluth (خط الثلث), Nasakh ( خط النسخ), Diwani (خط الديواني), Kufi (خط الكوفي), Farisi (خط الفارسي) dan Riq‘ah (خط الرقعة).
Seterusnya tulisan tersebut dikembangkan oleh umat Islam menjadi tulisan seni khat/Jawi di Alam Melayu.
Khat Kufi, iaitu jenis khat tertua. Seni tulisan ini banyak memiliki sudut dan siku-siku serta bersegi, mengandungi garis-garis vertikal pendek dan garis mendatar yang memanjang. Khat kufi sering disebut juga dengan istilah Jazm, jenis khat ini sudah banyak menghiasi bangunan-bangunan utama di Alam Melayu kerana agak sukar untuk dilakarkan, juga agak susah dibaca oleh umat Islam di walaupun ramai juga peminatnya.
Khat Nasakh, iaitu jenis tulisan tangan berbentuk cursif, yakni tulisan bergerak berpusing (rounded) dan sifatnya mudah serta jelas untuk ditulis dan dibaca. Menurut Didin Sirojuddin, “Kata Nasakh diambil dari akar kata Nuskhah atau Naskhah.” Jenis khat ini sangat mendominasi penggunaan tulisan kaligrafi yang ada di Alam Melayu kerana digunakan dalam pelbagai tulisan mushaf al-Quran dan bahkan digunakan juga dalam penulisan pelbagai buku teks pelajaran umum, agama Islam, dan sebagainya.
Khat Thuluth, iaitu tulisan yang banyak digunakan untuk hiasan di pelbagai manuskrip, khususnya dalam tajuk-tajuk buku atau sub-subbab dan nama-nama kitab ataupun kitab. Jenis ini juga digunakan sebagai tulisan hiasan pada dinding-dinding binaan dan hiasan dalaman. Selain itu, jenis khat ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Islam di Alam Melayu kerana selalu dijadikan sebagai hiasan tulisan dalam bangunan-bangunan utama seperti masjid, istana, pejabat, sekolah, dan lain-lain.
Khat Farisi, iaitu jenis khat Ta`liq atau Farisi yang banyak berkembang di negara Parsi (Iran), Pakistan, India, dan Turki. Perkembangan khat ini bermula dari Parsi pada masa pemerintahan Dinasti Safavi (1500-1800 M).
Menurut sejarahnya, khat Ta`liq berasal daripada tulisan Kufi yang dibawa oleh penguasa-penguasa Arab zaman penaklukan Parsi. Jenis khat ini tidak terlalu banyak digunakan sebagai hiasan dalaman di Nusantara kecuali untuk tulisan-tulisan tertentu seperti tajuk-tajuk buku yang tersimpan rapi di perpustakaan dan sekolah.
Khat Riq`ah, iaitu yang disebut juga khat Riq`ie atau Riqa`. Khat ini merupakan jenis tulisan cepat dan hampir sama dengan cara penulisan stenografi. Penggunaan jenis tulisan khat ini di Alam Melayu tidak terlalu meluas dalam kalangan masyarakat umum kecuali di kalangan mahasiswa dan pelajar pondok yang menggunakannya sebagai catatan-catatan penting nota kuliah ataupun pelajaran mereka.
Khat Diwani, iaitu khat berbentuk melingkar-lingkar, condong bersusun-susun, hurufnya tumpang tindih, lentur dan bebas. Khat Diwani merupakan suatu corak tulisan Uthmani yang sejajar perkembangannya dengan tulisan Syikasteh Farisi. Jenis khat ini masih banyak ditemui di Alam Melayu sebagai hiasan-hiasan tambahan, tetapi tidak sebanyak penggunaan jenis khat Nasakh ataupun Thuluth.
Kesemua khat di atas, para pakar khat berpendapat bahawa “induk” daripada seni khat/Jawi adalah khat Thuluth dan Nasakh. Sementara orang-orang Parsi terutama kalangan seniman, mengembangkan sebuah corak lain disebut Ta’līq (menggantung) yang sebenarnya merupakan perkembangan lanjut daripada corak Riq’ah dan Tawqī’ setelah diubahsuai lalu dibuat secara teliti dan sungguh-sungguh. Induk tulisan ini berkembang menjadi pelbagai macam jenis aliran dan corak.
Walaupun khat-khat tersebut memiliki perbezaan dan teknik penulisan berbeza-beza, tetapi masih ada hubungkait antara satu dengan lainnya. Contoh khat kufi banyak berpengaruh kepada jenis-jenis khat lainnya seperti Riq’ah dan Diwani bahkan menjadi penyempurna corak ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info menarik mengenai warisan di seluruh nusantara, sila follow dan subscribe Tetuang TV di:
Teknologi digital tidak hanya terhad pada seni khat sahaja, malah boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti Cina, India dan Jepun. - Astro AWANI/Hilmi Malik
Isu tulisan khat menjadi buah mulut ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini sehingga menjadi polemik yang cukup panjang.
Realitinya, tiada keperluan untuk mensensasikan isu berkenaan kerana khat sinonim sebagai seni tulisan, guna kemahiran tangan atau secara manual.
Seiring dengan perubahan zaman khususnya di era digital, khat kini melalui pemodenan dengan pengenalan teknologi digital di sebalik seni kaligrafi.
Sempena Hari Kaligrafi Sedunia yang disambut pada 14 Ogos setiap tahun, Astro AWANI mendekati seorang penggiat seni khas Saiful Bahari Sudarno.
Menurut Saiful Bahari, peralihan seni khat daripada penghasilan manual kepada digital seperti ini berupaya membantu usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan.
Malah teknik baharu seni ini, kata beliau, menjanjikan kualiti yang jauh lebih baik selain menjimatkan masa.
"Dahulu kita lihat perlunya peralatan khusus seperti pen atau pensel serta dakwatnya tersendiri namun sekarang pada zaman era transformasi ini ia tidak lagi perlu kerana telah pun didigitalkan.
"Antara contoh seni kaligrafi yang telah digitalkan ialah yang dihasilkan secara sulam, nampak mudah tetapi sebenarnya tidak kerana ia memerlukan proses atau penelitian yang terperinci.
"Tulisan khat ini ditranskripsi daripada tulisan tangan menjadi digital. Benangnya disusun sama seperti tekat tapi kita susun secara digital dan dihantar ke mesin yang khas," kata Saiful Bahari lagi.
Saiful Bahari juga berkata, teknologi ini juga tidak terhad kepada seni khat sahaja, malah ia turut boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti China, India dan Jepun.
Katanya, peralihan industri itu kepada dunia digital memberi ruang kepada anak muda yang mahir dalam bidang teknologi dalam memperoleh pendapatan.
Sementara mengenai harganya pula, Saiful Bahari berkata, setiap hasil seni ini bergantung kepada reka bentuknya termasuk saiz dan jenis bahannya.